TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas bertindak mengugut mahu mencederakan seorang wanita dan anaknya dalam kejadian di Kampung Serudong Laut, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian itu, suspek dikatakan datang ke rumah mangsa untuk meminta makanan namun bertindak melampau apabila masuk ke dalam rumah tanpa kebenaran.
“Tindakan biadab suspek itu ditegur oleh anak wanita berkenaan sebelum dia naik berang dan mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Suspek mengancam mahu mencederakan mangsa dan anaknya. Bimbang keselamatan diri serta keluarga, wanita terbabit kemudian tampil membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Wallace Bay digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesan suspek.
“Hasil risikan dan maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun di sebuah kebun kelapa sawit berhampiran kampung berkenaan.
“Turut dirampas sebilah pisau bedik yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.
Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan ancaman keselamatan di kawasan masing-masing,” katanya.
