TUARAN: Sebanyak 70 pintu rumah pekerja jenis tidak kekal (rumah kayu) yang dianggarkan berkeluasan satu ekar musnah 100 peratus dalam insiden kebakaran di Taman Seri Lemawang, Jalan Tuaran, Sabah awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 5:45 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK 1 Norkijan Durudin, tiba di lokasi sejauh 11 kilometer pada jam 05:57:00 pagi.
Menurut Komander Operasi, kebakaran melibatkan 70 pintu rumah yang setiap satunya berkeluasan 10 X 10 kaki. Walaupun kemusnahan adalah total, seramai 50 orang penghuni berjaya diselamatkan dalam operasi pantas tersebut.
Pasukan bomba yang melibatkan 11 anggota telah melancarkan operasi pemadaman menggunakan teknik secara ‘Offensive dan Defensive’ dengan menggerakkan 2 aliran 200 kaki dan 4 pancutan. Sumber air diperoleh dari jentera pemadam kebakaran (FRT) dan Water Tanker (W.Tanker).
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 06:28:00 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 07:52:00 pagi.
Dalam insiden tersebut, seorang mangsa lelaki berumur lingkungan 60-an dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat terkena zink ketika menyelamatkan diri.
Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM Tuaran yang turut berada di lokasi. Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Kanan yang turut berada di lokasi adalah TPgB II Mohamad Nor bin Amit. Pegawai Zon 1 Sabah, PgKB I Johari bin Dzulkiflie dan PPgB Ronney Sikawan, turut memantau operasi.
