TAWAU: Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh barisan Kabinet Negeri Sabah mencerminkan iltizam berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada unsur rasuah.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata inisiatif berkenaan adalah komitmen jelas di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor bagi memperkukuh tadbir urus yang baik di semua peringkat pentadbiran.
Beliau berkata, komitmen itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membabitkan tanggungjawab bersama semua pihak termasuk menteri, pembantu menteri, setiausaha politik, penjawat awam dan kementerian untuk bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“IBR ini adalah satu jaminan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan perjalanan pentadbiran berjalan lancar tanpa unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau sebarang perkara yang boleh menjejaskan integriti.
“Semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan amalan rasuah dapat dicegah dan dijauhkan dalam setiap urusan,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi rakyat susulan Majlis IBR yang diketuai Ketua Menteri di Menara Kinabalu pada 25 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, integriti bukan sahaja menjadi tanggungjawab kepada negara dan rakyat, malah turut membabitkan tanggungjawab moral serta tuntutan agama yang melarang perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Apabila amanah dilaksanakan dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab, pembangunan negeri akan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, teratur serta memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan langkah memperkukuh tadbir urus yang baik itu sebagai usaha penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur dan masyarakat terhadap komitmen kerajaan negeri dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
Terdahulu, Hajiji mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah yang membabitkan Ahli Jemaah Menteri Negeri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu, sebelum menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah SPRM Sabah.
Langkah itu dilihat sebagai kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh integriti serta memastikan pentadbiran yang bersih dan berwibawa demi kemajuan Sabah.
