KOTA KINABALU, 5 Mac – Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri bagi DUN N.63 Kunak.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Puan Amelati Parnell yang membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh pihak responden.
Mahkamah memutuskan bahawa petisyen tersebut gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan 3(1) dan 3(2) Peraturan Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 yang mengawal tatacara pembentangan sesuatu petisyen pilihan raya, serta Peraturan 4 peraturan yang sama yang mensyaratkan petisyen memperincikan fakta material yang mencukupi bagi menyokong cabaran pilihan raya.
Dalam penghakimannya, mahkamah bersetuju bahawa pematuhan terhadap peruntukan tersebut merupakan syarat asas untuk membolehkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya dipanggil.
Kegagalan membentangkan petisyen dengan sempurna serta kegagalan memperincikan fakta material yang mencukupi menjadikan petisyen itu cacat dari segi prosedur dan tidak mampan di sisi undang undang, sekali gus wajar dibatalkan pada peringkat awal tanpa perlu diteruskan kepada perbicaraan penuh.
Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM10,000 kepada Responden Pertama, Kedua dan Ketiga serta RM20,000 kepada Responden Keempat.
Pempetisyen diwakili oleh Jay Dee Allen James daripada Tetuan Sazalye Donol, Muhammad & Co. Manakala Responden Pertama hingga Ketiga diwakili pegawai daripada Jabatan Peguam Negara iaitu Nurul Atiqah Azizan, Anis Najwa Nazari, Khairun Neesha Raj Mohamed dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.
Responden Keempat, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh diwakili pasukan guaman yang diselaraskan oleh Mohd Reduan Aklee selaku penyelaras utama bersama Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Nooraihan Mohammad dan Wong Chik Kien daripada Tetuan JPKERUAK.
Dr Anil Jeet Singh turut hadir di mahkamah ketika keputusan dibacakan dan menyatakan rasa syukur dengan keputusan tersebut.
Beliau berkata keputusan itu membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada tanggungjawab untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan DUN Kunak tanpa sebarang keraguan terhadap mandat yang diberikan oleh pengundi.
Dengan pembatalan petisyen ini, keputusan Pilihan Raya Negeri bagi DUN N.63 Kunak kekal seperti yang telah digazetkan sebelum ini.
