Rina melawat dan membuat simbolik penyerahan E-Wallet kepada peniaga bazar Ramadan.
TAWAU: Seramai 1,000 pengunjung Bazar Ramadan Sabindo, menerima insentif sebanyak RM20 manakala 20 peniaga bazar menerima insentif RM100 setiap seorang melalui e-wallet Touch n Go.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal berkata, program berkenaan dijalankan bagi merancakkan aktiviti jual beli kepada pengunjung dan peniaga sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata, inisiatif dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah itu juga dilihat mampu menyokong peniaga kecil tempatan di daerah ini.
“Kita menerima banyak aduan daripada peniaga dimana jumlah pengunjung ke bazar Ramadan ramai, namun pembeli yang berbelanja tidak ramai.
“Jadi insentif tanpa tunai itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk berbelanja di bazar dan dapat memberi manfaat kepada peniaga,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Bazar Ramadan Rahmah, semalam.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Tawau, Mohammad Roli Aliman berkata, pihaknya turut melaksanakan program My SaveFoodBank dengan mengumpul lebihan makanan daripada peniaga bazar Ramadan untuk diagih kepada individu yang memerlukan.
“Inisiatif itu bertujuan mengelak pembaziran makanan selain membantu golongan yang memerlukan.
“Melalui program My SaveFoodBank, kita mengumpul lebihan makanan yang masih selamat dimakan daripada peniaga sebelum diserahkan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama sukarelawan dalam kalangan mahasiswa Kolej Komuniti Tawau yang menjadi rakan strategik dalam menggerakkan inisiatif berkenaan.
