SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia akan disalurkan kepada semua tanpa mengira status kewarganegaraan, atas dasar kemanusiaan dalam situasi kecemasan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa bagi penyelesaian jangka panjang khususnya melibatkan perumahan, keutamaan akan diberikan kepada warganegara Malaysia selaras dengan dasar dan realiti semasa di lapangan.
“Untuk bantuan segera, kita bantu semua keluarga terjejas. Tetapi bagi perumahan, sudah tentu ada kategori tertentu kerana keutamaan adalah kepada warganegara,” katanya ketika lawatan di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan tambahan bantuan sebanyak RM500 daripada Jabatan Perdana Menteri, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan tunai RM1,500 bagi setiap keluarga terjejas.
Sebelum ini, kerajaan negeri Sabah telah menyalurkan RM1,000, diikuti sumbangan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan tunai RM3,500 bagi setiap keluarga.
Anwar turut memaklumkan terdapat sebahagian mangsa yang tidak mendaftar kerana bimbang status mereka, namun menegaskan kerajaan memberi jaminan bahawa kebajikan semua pihak akan terus dilindungi.
“Saya ingin memberi jaminan, ini bukan masa untuk menekan atau menghukum. Kita akan menjaga keselamatan dan kebajikan semua yang terlibat,” katanya.
Bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas, beliau turut mengarahkan supaya pelajar kembali ke sekolah seperti biasa walaupun tanpa pakaian seragam buat sementara waktu.
Kementerian Pendidikan pula akan menyalurkan bantuan RM300 kepada setiap murid warganegara Malaysia yang terjejas, melibatkan 454 pelajar daripada 12 sekolah.
Selain itu, pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara akan digerakkan bagi menyediakan perkhidmatan bergerak untuk menggantikan dokumen penting yang musnah seperti MyKad, MyKid dan sijil kelahiran, manakala Jabatan Imigresen membantu penggantian pasport.
“Saya telah meminta supaya semua agensi berkaitan turun ke lokasi. Kita akan bantu penggantian dokumen termasuk rekod kelahiran, perkahwinan dan kematian tanpa sebarang bayaran,” jelas beliau.
Perdana Menteri berkata demikian selepas meninjau keadaan mangsa kebakaran di Masjid Kampung Bahagia dan di Dewan PPR Taman Batu Sapi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perancangan pembangunan semula kawasan terjejas akan dibincangkan secara terperinci bersama kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, memandangkan ia melibatkan skala besar dan dasar negeri.
