KOTA KINABALU: Penutupan Muzium Sabah yang bermula sejak 2 September 2024 terus berlarutan tanpa penjelasan, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai hala tuju sebenar institusi warisan negeri itu.Muzium berkenaan sebelum ini ditutup atas faktor keselamatan struktur bangunan.
Namun selepas lebih setahun, masih tiada pengumuman rasmi yang jelas sama ada bangunan lama akan dirobohkan, dibaik pulih atau digantikan dengan pembangunan baharu.Lebih membimbangkan, tiada garis masa atau tarikh jangkaan pembukaan semula diumumkan kepada umum setakat ini.
Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah Malik Aman, menyifatkan situasi itu sebagai satu bentuk ketidakjelasan yang tidak sepatutnya berlaku terhadap sebuah institusi penting negeri.
“Muzium bukan sekadar bangunan. Ia adalah pusat ilmu, identiti sejarah dan warisan negeri. Apabila ia ditutup terlalu lama tanpa makluman yang jelas, ini menunjukkan kelemahan dari segi pengurusan dan komunikasi kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, penutupan sejak 2 September 2024 tanpa sebarang kemas kini konkrit membuka ruang kepada spekulasi dan persepsi negatif terhadap pihak bertanggungjawab. “Kita perlukan jawapan yang jelas, apakah status semasa bangunan itu, apakah tindakan yang sedang dilaksanakan, dan bila sasaran muzium ini boleh dibuka semula. Rakyat berhak tahu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Muzium Sabah memainkan peranan penting bukan sahaja kepada pelancong luar, malah kepada masyarakat tempatan sebagai pusat pembelajaran sejarah dan budaya.
“Kelewatan tanpa arah ini memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan dan pendidikan. Kita kehilangan satu ruang penting untuk generasi mengenali sejarah negeri sendiri,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa negeri serta pengurusan muzium untuk tampil memberikan penjelasan rasmi dalam masa terdekat, termasuk pelan tindakan yang jelas serta garis masa pelaksanaan.
“Ketelusan dan kejelasan adalah asas kepercayaan. Jangan biarkan institusi penting seperti ini terus tergantung tanpa kepastian,” katanya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi terkini dikeluarkan berhubung perkembangan status pembaikan atau perancangan masa depan muzium berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
