KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, petang tadi.
Majlis yang berlangsung di Dewan Seri Kinabalu, Istana Seri Kinabalu itu dihadiri pelbagai lapisan kepimpinan negeri dan persekutuan sebagai tanda penghormatan serta menjunjung kasih sempena sambutan berkenaan.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datin Hajah Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; menteri-menteri Kabinet Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; para Pembantu Menteri serta Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Majlis Jamuan Teh tersebut merupakan sebahagian daripada acara rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diadakan di Sabah bagi menzahirkan kesetiaan serta penghargaan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Berperlembagaan negara. – DAKWAT RAKYAT POST
