KOTA KINABALU, 3 Jun -Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berhubung penganjuran Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 3.0 yang dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Julai depan.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya gangguan kepada ketenteraman awam, keselamatan masyarakat serta risiko tercetusnya kekecohan susulan kempen mobilisasi yang sedang digerakkan menerusi pelbagai platform media sosial.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diumumkan kepada umum, demonstrasi berkenaan dikatakan dianjurkan oleh gabungan terdiri daripada Suara Mahasiswa UMS dan Bersih Sabah melalui Sekretariat Gempur Rasuah Sabah 3.0.
Menurut Jerry, pihak penganjur bukan sahaja merancang perhimpunan selama dua hari di Kota Kinabalu, malah turut melaksanakan siri jelajah ke beberapa lokasi di seluruh Sabah bagi menggerakkan penyertaan orang ramai menjelang program tersebut.
“Saya membuat laporan polis ini kerana bimbang program yang dirancang dan hebahan yang dilakukan secara meluas boleh mencetuskan gangguan kepada ketenteraman awam serta mengundang situasi yang tidak diingini.
“Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan kestabilan negeri, saya berpandangan bahawa sebarang tuntutan atau pandangan perlu disalurkan melalui saluran yang sah serta mengikut lunas undang undang,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.
Beliau berkata, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap penyebaran pelbagai rakaman video, poster promosi, sidang media dan kenyataan berkaitan demonstrasi itu yang dimuat naik menerusi platform seperti Facebook, TikTok, YouTube serta aplikasi media sosial lain.
Tambah beliau, kandungan berkaitan turut disebarkan secara meluas melalui beberapa saluran media dan platform digital yang mempunyai capaian besar kepada masyarakat.
Menurut Jerry, seruan terbuka yang menyasarkan mahasiswa, golongan belia dan Generasi Z untuk menyertai demonstrasi jalanan perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.
“Saya khuatir seruan berterusan seperti ini boleh mempengaruhi golongan muda untuk menyertai perhimpunan jalanan tanpa mengambil kira implikasi keselamatan, ketenteraman awam dan perundangan yang mungkin timbul.
“Jika tidak dikawal dengan baik, keadaan ini berpotensi menyebabkan gangguan lalu lintas, menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat serta mencetuskan provokasi antara pihak yang mempunyai pandangan berbeza,” katanya.
Beliau turut memaklumkan laporan polis yang dibuat menyentuh mengenai beberapa hantaran media sosial yang didakwa mengandungi ungkapan serta kenyataan berbaur provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, Jerry meminta Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pihak yang terbabit dalam penganjuran demonstrasi berkenaan termasuk penggerak, penyelaras, penaja, penyumbang dana serta mana mana individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa meneliti sumber pembiayaan program termasuk penjualan baju T rasmi yang dilaporkan digunakan bagi menampung kos logistik, siri jelajah dan usaha mobilisasi peserta.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang undang yang berkuat kuasa.
“Apa yang penting, kita mahu memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan negeri Sabah terus terpelihara serta mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.
