PUTRAJAYA: Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang telah diluluskan tidak berkuat kuasa secara retrospektif, sebaliknya hanya terpakai secara prospektif bagi kelahiran yang berlaku pada atau selepas tarikh kuat kuasa akta berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan urusan kewarganegaraan dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan demi kepastian undang-undang serta kepentingan terbaik rakyat dan anak-anak Malaysia.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), status kewarganegaraan bagi individu yang lahir sebelum tarikh kuat kuasa pindaan tidak berubah secara automatik dan akan terus tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa ketika kelahiran atau ketika permohonan dibuat.
KDN menjelaskan bahawa bagi kelahiran yang berlaku sebelum tarikh kuat kuasa pindaan, individu terbabit tidak tertakluk secara automatik kepada peruntukan baharu. Sebaliknya, status kewarganegaraan mereka akan terus diurus mengikut peruntukan terdahulu.
Selain itu, semua permohonan kewarganegaraan yang telah dikemukakan sebelum tarikh kuat kuasa pindaan akan diproses berdasarkan peruntukan sedia ada.
Bagi kelahiran yang berlaku pada atau selepas tarikh kuat kuasa pindaan, hak dan kelayakan kewarganegaraan akan ditentukan mengikut peruntukan baharu yang telah dipinda dan berkuat kuasa.
Menurut KDN, pendekatan tersebut selaras dengan prinsip perundangan yang memastikan kepastian undang-undang, keadilan dan ketelusan dalam pengurusan kewarganegaraan negara.
Langkah itu juga bertujuan mengelakkan kekeliruan terhadap status sedia ada serta memastikan setiap kes dinilai berdasarkan peruntukan yang sah dan berkuat kuasa pada masa berkaitan.
KDN memaklumkan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terus memperkukuh usaha penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat serta memastikan setiap urusan kewarganegaraan dilaksanakan secara profesional, cekap dan berintegriti.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KDN dan JPN bagi mengelakkan salah faham atau penyebaran maklumat yang tidak tepat berhubung pelaksanaan pindaan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
