KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan bahawa kemudahan tempat letak kereta di pusat bandar Kota Kinabalu adalah mencukupi dan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan parkir akan terus dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan pengunjung.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya kini menyediakan kira-kira 4,005 petak parkir awam di kawasan pusat bandar dan sekitarnya.
Selain itu, DBKK turut menyediakan kemudahan parkir bertingkat di Bangunan KK Plaza yang mempunyai 452 petak, Menara Jubili (276 petak) dan KK Sentral (499 petak) dengan kadar caj RM1 sejam.
Menurut kenyataan itu, selain kemudahan yang disediakan DBKK, terdapat lebih 19,000 petak parkir yang disediakan oleh bangunan komersial dan premis persendirian di sekitar pusat bandar.
Antara kemudahan parkir yang tersedia termasuk The Shore dengan 711 petak, Wisma Sabah (125), Wisma Merdeka (752), Warisan Square (510), Suria Sabah (2,016), Riverson (760), Plaza Shell (550), Oceanus (815), KK Times Square (3,287), KK Plaza (450), Jesselton Quay (1,148), Jesselton Mall (910), Imago (1,795), Kompleks Asia City (1,581), Centre Point (1,376) dan Api-Api Centre (1,480).
DBKK berkata, kemudahan parkir di bangunan persendirian sekitar pusat bandar turut mengenakan caj yang berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM4 bagi beberapa jam pertama.
Walaupun kemudahan parkir yang tersedia adalah banyak, DBKK mendapati masih terdapat pemandu yang memilih untuk meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dikhaskan sebagai tempat letak kereta.
Antara lokasi yang sering menjadi kesalahan parkir ialah bahu jalan, laluan masuk dan keluar premis, kawasan larangan parkir, persimpangan jalan, kawasan pejalan kaki, hadapan premis perniagaan serta kawasan yang boleh menghalang pergerakan lalu lintas.
“Perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi peraturan yang ditetapkan, malah boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain serta menjejaskan kelancaran aktiviti perniagaan dan urusan harian orang awam,” menurut DBKK dalam kenyataan itu.
DBKK turut menjelaskan bahawa dalam sesetengah keadaan, kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur boleh menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam seperti landskap bandar, pokok hiasan, kaki lima, pembahagi jalan dan infrastruktur lain yang disediakan untuk kegunaan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, tindakan terhadap kesalahan parkir dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sebelum tindakan lanjut diambil, anggota penguat kuasa akan membuat hebahan melalui siren atau pembesar suara bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan mengalihkan kenderaan mereka.
“Sekiranya pemilik kenderaan tidak hadir atau kesalahan masih berterusan, notis kompaun dikeluarkan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
DBKK berkata, bagi kes tertentu yang melibatkan halangan kepada lalu lintas, risiko keselamatan awam, kesalahan berulang atau kegagalan mematuhi arahan yang diberikan, tindakan menunda kenderaan akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas semua semakan dan prosedur berkaitan dipatuhi.
Orang ramai juga diingatkan bahawa berjalan kaki dalam jarak yang munasabah dari kawasan parkir ke destinasi adalah amalan biasa di bandar-bandar utama dunia dan kemudahan parkir di bangunan berhampiran seperti KK Plaza, The Shore serta premis parkir lain boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan kesesakan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur dan selesa.
Sehubungan itu, DBKK menyeru semua pengguna jalan raya supaya menggunakan petak parkir yang sah, mematuhi peraturan yang ditetapkan serta merancang perjalanan dengan lebih baik apabila berurusan di kawasan pusat bandar.
“Kerjasama dan sikap bertanggungjawab semua pihak amat penting dalam memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai sebuah bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan mesra pengguna,” menurut kenyataan itu. – Warta Oriental
