KUALA LUMPUR: DAP akui masih bergelut dengan cabaran untuk menarik keyakinan pengundi Melayu khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun sudah enam dekad parti itu bertapak di negara ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata pihaknya percaya usaha menarik keyakinan pengundi Melayu mesti berpaksi keyakinan kaum berkenaan kepada parti itu, bukannya individu tertentu.
Malah, beliau menolak tanggapan keputusan parti untuk menukar kawasan ditandingi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim ke kerusi lain pada PRN Johor kali ini, sebagai langkah menyekat kemaraan pemimpin Melayu dalam DAP.
“DAP sebuah parti berusia 60 tahun. Kami bertahan menghadapi semua cabaran dan tiada seorang individu lebih besar daripada parti. Parti itu sentiasa yang utama. Parti ini ada untuk kekal. Kami ialah sebuah parti untuk rakyat Malaysia.
“Pemimpin datang dan pergi. ADUN, Ahli Parlimen datang dan pergi, tetapi parti itu tetap kekal. Prinsip saya sentiasa meletakkan parti itu lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dokumentari 60 Tahun Perjalanan DAP di Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Tambah Loke, tiada mana-mana individu atau pemimpin dalam DAP boleh menganggap parti itu sebagai satu perkara remeh.
“Kami ialah Ahli Parlimen. Kami ialah ADUN. Hari ini kami menteri kerana DAP, bukan kerana kekuatan individu. Jadi saya tidak percaya dan saya menolak idea bahawa seorang (pemimpin) sahaja boleh mempengaruhi (sokongan terhadap sesebuah) parti itu,” katanya.
Menyentuh PRN Johor, Loke berkata agihan kerusi membabitkan Pakatan Harapan (PH) sedang dimuktamadkan dan parti itu menjangkakan akan bertanding di 17 kerusi DUN kali ini.
“Kami sedang melihat untuk bertanding di 17 kerusi, lebih kurang ada satu kerusi (tambahan itu) yang sudah dimuktamadkan. Tetapi disebabkan rundingan akhir antara PKR dan AMANAH, (jumlah akhir) akan dimuktamadkan dalam satu atau dua hari akan datang.
“Namun, saya boleh katakan bahawa DAP kemungkinan akan bertanding di 17 kerusi DUN dalam PRN akan datang di Johor ini,” katanya.
Ketika PRN Johor pada Mac 2022, DAP bertanding di 14 kerusi DUN dan menang 10 daripadanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Johor Ke-16 pada 12 Jun ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, bagi membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian.
Kredit sumber: Berita Harian
