TAWAU, 7 Jun 2026 – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho menyatakan kesediaannya untuk menawarkan diri sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Batu itu berkata, beliau masih mempunyai kemampuan serta pengalaman untuk terus berkhidmat kepada rakyat, khususnya penduduk di Pulau Sebatik.
Menurutnya, masih banyak agenda pembangunan yang perlu dilaksanakan terutama dalam usaha memperkasa ekonomi masyarakat setempat.
Justeru, beliau berharap kepimpinan parti dapat mempertimbangkan untuk memberi peluang kepadanya bertanding pada pilihan raya akan datang.
“Sebenarnya saya sedang melobi kerana saya merasakan masih mampu untuk berkhidmat. Bayangkan saya pernah menjadi ADUN Sebatik hampir tiga penggal.
“Saya melihat masih banyak perkara yang boleh dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat di Pulau Sebatik. Saya masih boleh menyumbang dan berkhidmat, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Memancing Terbuka Pulau Sebatik yang berlangsung di Jeti Mentadak Baru, Pulau Sebatik, pada Ahad.
Mengulas mengenai sokongan rakyat, Abdul Muis berkata beliau menerima maklum balas positif daripada penduduk Pulau Sebatik yang berharap beliau kembali memainkan peranan dalam pembangunan kawasan berkenaan.
Katanya, sepanjang berada di kawasan itu sejak beberapa hari lalu, ramai penduduk menyuarakan sokongan dan harapan agar beliau kembali bertanding pada pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan fokus utama pembangunan di Parlimen Kalabakan adalah memperkukuh ekonomi penduduk, khususnya di Pulau Sebatik yang masih banyak bergantung kepada sektor perikanan dan perladangan sawit.
Menurutnya, pembangunan ekonomi yang mampan perlu terus diberi perhatian bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat serta mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada penduduk kawasan tersebut. – DAKWAT RAKYAT POST
