KOTA KINABALU: Pemerhati politik Sabah, Atan Leecas menyifatkan penganjuran Demonstrasi Aman NGO “Tangkap Shafie Apdal” yang dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Julai 2026 di Dataran Deasoka, Gaya Street sebagai sebahagian daripada hak rakyat dalam sistem demokrasi.
Beliau berkata, perhimpunan aman adalah hak yang dijamin selagi dilaksanakan secara tertib, berhemah dan mematuhi undang-undang negara.
Menurut Atan, himpunan itu dilihat sebagai manifestasi suara rakyat Sabah yang mahu isu berkaitan dakwaan penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bernilai RM1.5 bilion diberikan perhatian semula oleh pihak berkuasa.
“Rakyat mahu melihat setiap persoalan yang masih berlegar dapat dijawab secara telus, profesional dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media pada 11 Jun.
Terdahulu, media melaporkan perhimpunan dikenali sebagai “Tangkap Shafie Apdal” dijadual diadakan di Kota Kinabalu pada 4 dan 5 Julai ini.
Isu dana pembangunan luar bandar Sabah bernilai RM1.5 bilion sebelum ini pernah dilaporkan pada 2018, namun pihak pendakwaan ketika itu memaklumkan bukti tidak mencukupi untuk tindakan lanjut terhadap Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Atan berkata, tuntutan rakyat bukanlah supaya mana-mana individu didakwa tanpa bukti, sebaliknya mahu jaminan bahawa kes yang melibatkan kepentingan awam diteliti sewajarnya berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang.
Beliau turut menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memikul amanah besar sebagai institusi penguat kuasa yang bertanggungjawab memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Katanya, keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat diperkukuh sekiranya setiap tindakan dilihat bebas daripada pengaruh politik, tidak memilih bulu serta berlandaskan prinsip keadilan dan integriti.
Dalam masa sama, Atan menyeru semua peserta yang hadir pada himpunan itu supaya mengutamakan disiplin, keselamatan dan mematuhi peruntukan undang-undang.
“Dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
