SEMPORNA – Usaha memulihara lautan dan ekosistem marin tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kerajaan, saintis atau pertubuhan alam sekitar, sebaliknya perlu meletakkan komuniti setempat sebagai pemain utama dalam memastikan kelestarian sumber laut untuk generasi akan datang.
Bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia dan Hari Segi Tiga Terumbu Karang (Coral Triangle Day) bulan ini, Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia, Adzmin Fatta berkata, lautan di seluruh dunia kini berdepan tekanan semakin serius akibat perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, penangkapan ikan berlebihan, pencemaran plastik serta pembangunan pesisir yang tidak mampan.
Menurut beliau, negara dalam wilayah Segi Tiga Terumbu Karang termasuk Malaysia mempunyai tanggungjawab besar kerana kawasan itu merupakan antara pusat biodiversiti marin terkaya di dunia selain menjadi sumber makanan, pendapatan dan ekonomi kepada jutaan penduduk.
Katanya, walaupun ancaman seperti kejadian pelunturan karang dan peningkatan suhu laut semakin membimbangkan, masih terdapat ruang untuk optimis apabila semakin banyak komuniti pesisir mula memainkan peranan aktif dalam usaha pemuliharaan.
Di Sabah khususnya di pantai timur, semakin ramai penduduk tempatan termasuk golongan belia terlibat dalam aktiviti pemantauan terumbu karang, pemulihan karang, pengumpulan data ekologi serta program kesedaran alam sekitar dan tadbir urus marin.
“Komuniti bukan sekadar penerima manfaat daripada usaha pemuliharaan tetapi merupakan penggerak utama kepada kejayaannya. Apabila masyarakat melihat pemuliharaan sebagai sebahagian daripada masa depan mereka sendiri, usaha itu menjadi lebih mampan,” katanya.
Beliau menegaskan, lautan yang sihat bukan sahaja penting dari sudut alam sekitar tetapi turut memberi kesan langsung kepada ekonomi, budaya dan kesejahteraan masyarakat kerana terumbu karang menyokong sektor perikanan, pelancongan dan sumber pendapatan komuniti setempat.
Menurutnya, penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi penyelidikan, organisasi masyarakat sivil, sektor swasta dan komuniti agar pemuliharaan tidak dilihat sebagai projek sementara tetapi menjadi budaya dan tanggungjawab bersama.
Adzmin berkata, masa depan lautan bukan hanya bergantung kepada sains dan dasar, tetapi juga kepada kemampuan masyarakat yang tinggal paling hampir dengan laut untuk menjadi penjaga kepada ekosistem tersebut.
