JERANTUT: Kisah penuh emosi dan menyentuh hati terungkap apabila sebuah keluarga yang terpisah hampir 95 tahun akhirnya dapat menjejaki waris mereka di Dumai, Indonesia selepas beberapa bulan mencari.
Waris keluarga, Rosmi Jamat, 64, seorang pesara guru dari Bandar Jengka berkata arwah bapanya, Jamat Jaikaran, sering berpesan agar sembilan orang anaknya berusaha mencari saudara-mara yang ditinggalkan di Pacitan, Jawa Timur, Indonesia.
Menurut Rosmi, bapanya yang ketika itu berusia 18 tahun telah merantau ke Tanah Melayu pada tahun 1935 akibat wabak malaria yang melanda kampung halamannya.
“Arwah ayah menaiki kapal dan singgah di Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Port Dickson untuk memulakan kehidupan baharu di Linggi, Tanah Melayu,” katanya.
Usaha menjejaki waris keluarga telah dilakukan bersama adik-beradiknya yang kini berusia antara 59 hingga 79 tahun sejak lebih dua dekad lalu, namun pencarian itu sering menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, sinar harapan mula muncul pada pertengahan tahun 2025 apabila seorang kenalannya, Nor Azli Azrami, 59, dari Port Dickson, bertemu dua perantau dari Pacitan iaitu Supardi dan Tukiyat yang ketika itu berada di Linggi sebelum pulang ke kampung halaman mereka.
“Kami berkongsi cerita mengenai Kampung Pacitan dan memohon bantuan mereka untuk mengesan adik-beradik arwah ayah yang masih berada di Indonesia.
“Hasil bantuan mereka, kami memperoleh maklumat beberapa waris yang masih mempunyai pertalian darah dengan keluarga kami,” katanya.
Menurut Rosmi, selepas mendapatkan nombor telefon dan berhubung dengan keluarga di Indonesia, pelbagai maklumat yang dikongsi ternyata sepadan dengan cerita arwah bapanya.
Malah, mereka turut dimaklumkan bahawa seorang adik arwah bapanya telah berhijrah ke Dumai pada tahun 1981 dan menetap di sana bersama keluarganya.
Melalui usaha tersebut, keluarga itu akhirnya dapat mengesan lima sepupu mereka iaitu Parlan Jumangin, 65, Rokayah, 60, Jahri, 51, Purwati, 51, dan Muji, 48, iaitu anak kepada adik arwah bapanya, Jumangin.
Rosmi berkata, sepanjang di sana, rombongan dari Malaysia dibawa menziarahi rumah-rumah waris di sekitar Dumai bagi mengeratkan semula hubungan kekeluargaan yang terputus sejak beberapa generasi.
Lebih mengharukan apabila seorang lagi adik kepada arwah bapanya yang berhijrah ke Bengkalis turut hadir bagi meraikan pertemuan bersejarah itu.
Kredit sumber: Berita Harian
