BAITULMAQDIS: Peneroka haram Israel membakar beberapa kenderaan serta pintu sebuah masjid di Tebing Barat yang diduduki pada Ahad, menurut laporan Palestin.
Serangan dilakukan ketika tentera Israel mengerahkan anggota bagi meredakan apa yang disifatkannya sebagai rusuhan ganas oleh ‘orang awam Israel’.
Menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA, peneroka Israel melancarkan dua serangan berasingan di Tebing Barat lewat Ahad.WAFA melaporkan sekumpulan peneroka haram membakar sebuah kereta, memecahkan pintu masjid dan membakar bahagian pintu masuk di kampung Burqa, timur Ramallah sebelum melarikan diri.
Saksi memberitahu AFP penduduk berjaya memadamkan kebakaran itu. Dalam satu lagi serangan di kampung berhampiran, Deir Dibwan, peneroka haram membakar dua kenderaan, menurut laporan WAFA.
Tentera Israel mengesahkan pasukan keselamatannya dihantar ke beberapa lokasi di Tebing Barat susulan laporan mengenai kejadian membakar harta benda dan rusuhan.
“Sebentar tadi, pasukan keselamatan dikerahkan ke beberapa lokasi di bawah kawasan tanggungjawab Briged Binyamin susulan laporan mengenai kejadian membakar harta benda dan rusuhan ganas yang dilakukan oleh orang awam Israel.
“Pasukan kini beroperasi di pelbagai lokasi bagi menyuraikan rusuhan, memadamkan kebakaran dan mengelakkan ketegangan lanjut.”Pasukan keselamatan mengutuk keras semua bentuk keganasan.
Mereka akan terus bertindak untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman di Judea dan Samaria,” menurut kenyataan tentera, merujuk kepada Tebing Barat menggunakan nama sejarah wilayah itu.
Keganasan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keganasan peneroka haram Israel di Tebing Barat sudah mencapai tahap tertinggi dalam rekod.
Purata enam serangan setiap hari yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan. PBB berkata, lebih 2,200 penduduk Palestin dipindahkan sepanjang tahun ini akibat keganasan peneroka atau sekatan akses.
Ratusan lagi kehilangan tempat tinggal susulan tindakan pihak berkuasa Israel merobohkan kediaman mereka.
Lebih 500,000 rakyat Israel tinggal di penempatan haram di Tebing Barat, tidak termasuk Baitulmaqdis Timur yang diilhakan walaupun dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa oleh PBB.
Kredit sumber: AFP/Berita Harian
