KUALA LUMPUR: Hakim Datuk Collin Sequerah menggambarkan kesalahan salah guna kedudukan membabitkan Datuk Seri Najib Razak jauh lebih besar berbanding dilakukan pemimpin Hun, Attila, yang terkenal dengan kekejaman dan kemusnahan.
“Skala penjarahan yang berlaku (dari sudut kewangan, sudah tentu) menjadikan ‘Attila the Hun’ kelihatan seperti budak koir jika dibandingkan dengannya (Najib),” kata Hakim Datuk Collin Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan.
Menurut hakim itu, skandal kewangan yang membawa kepada pertuduhan terhadap Najib digambarkan oleh media, sama ada di dalam dan di seluruh dunia, sebagai episod kleptokrasi terbesar di dunia.
Sequerah berkata, perbicaraan bermula pada Ogos 2019 mengambil masa kira-kira enam tahun untuk diselesaikan, menyifatkannya sebagai rekod yang tidak diingini oleh mana-mana mahkamah.
“Besar kemungkinan ia telah melepasi tempoh mana-mana perbicaraan lain dalam sejarah mahkamah Malaysia… ia suatu rekod yang tidak membanggakan,” katanya.
Sequerah berkata, tempoh perbicaraan yang panjang mencerminkan kerumitan kes berkenaan, yang membabitkan sejumlah besar dokumen, ramai saksi serta dakwaan berkaitan salah satu skandal kewangan terbesar negara.
Beliau berkata, Najib adalah dalang di sebalik penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui tipu daya dan penipuan proksinya, iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Katanya, Najib berganding bahu dengan Jho Low secara berhati-hati dan teliti dengan membentuk jaringan penipuan yang kompleks melalui transaksi yang mengakibatkan perpindahan dana 1MDB.
“Pemindahan dana daripada 1MDB dilakukan menerusi pelbagai lapisan sebelum berakhir ke dalam akaun bank peribadi tertuduh.
“Mahkamah ini berhak menimbangkan bahawa tertuduh tidak mempamerkan sebarang penyesalan atas kesalahan yang dilakukan itu.
“Sebaliknya dia memilih untuk menyalahkan skandal ini kepada pihak lain termasuk pengurusan 1MDB.
“Kekurangan penyesalan ini adalah faktor yang sangat relevan untuk dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman,” katanya.
Hakim itu berpuas hati bahawa Najib cuba memujuk Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz supaya mengeluarkan kenyataan bagi membersihkan beliau daripada salah laku.
Berkaitan hukuman pula, Sequerah berkata mahkamah mengambil kira magnitud jenayah dari segi jumlah besar yang terlibat.
Beliau turut berpendapat, hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan terhadap Najib, mengatasi hukuman yang dikenakan terhadap perkhidmatan awam dan sumbangan terhadap perkhidmatan awam.
Najib bukan seorang mudah diperdaya
Katanya, mahkamah tidak dapat menerima dakwaan Najib bahawa pengurusan tertinggi 1MDB telah berkomplot terhadapnya kerana tertuduh bukanlah seorang yang mudah diperdaya.
“Untuk mempercayai bahawa pegawai secara sukarela dan sedar berkomplot menentang perdana menteri yang ketika itu bersama Jho Low yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB, adalah sesuatu yang melampaui logik sehingga memasuki alam fantasi semata-mata.
“Tertuduh bukan sahaja mempunyai latar belakang keluarga dan politik yang cemerlang, malah memiliki kecerdasan tinggi berdasarkan latar belakang akademiknya serta pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran.
“Sebarang percubaan untuk menggambarkan tertuduh sebagai seorang yang jahil dan langsung tidak menyedari salah laku yang berlaku di sekelilingnya mestilah gagal sama sekali,” katanya.
Sequerah turut menolak dakwaan bahawa Najib hanya memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara, sambil menegaskan bahawa beliau sendiri mengarahkan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin, ditemani oleh Jho Low dalam lawatan ke Abu Dhabi dan China.
“Mahkamah mendapati terdapat bukti yang amat kukuh bahawa Jho Low bertindak sebagai proksi bagi tertuduh dalam urusan 1MDB.
“Kehadiran dan pembabitan Jho Low pada peringkat penting transaksi melibatkan 1MDB, selain hubungan rapatnya dengan tertuduh, membawa kesimpulan jelas bahawa beliau berperanan sebagai proksi, saluran, orang tengah dan pemudah cara tertuduh dalam pengurusan dana berkenaan,” katanya.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tiada tindakan diambil terhadap Jho Low walaupun selepas salah laku yang didakwa itu terbongkar.
Sequerah juga menolak cubaan Najib untuk menjauhkan dirinya daripada Jho Low dengan menyandarkan kehadiran ahli perniagaan itu pada detik penting kepada pihak lain, termasuk kerabat diraja Arab dan Terengganu.
Menurut Sequerah, dakwaan pembelaan bahawa Najib telah diperdaya dan ditipu oleh pengurusan 1MDB serta Low didapati tidak mempunyai merit.
Kredit sumber: Berita Harian
