Kuala Lumpur: Seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air antara 13 individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2.5 juta daripada kontraktor.
Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai dorongan melantik syarikat kontraktor yang dikawal ejen kartel bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga agensi berkenaan.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, 13 suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 30 hingga 60-an ditahan, kelmarin, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Katanya, tiga suspek membabitkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman dua hari bermula semalam hingga hari ini.
Selain itu, katanya, 10 lagi suspek direman lima hari bermula semalam hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
Menurut BKS SPRM, perintah reman dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.
“Kontraktor yang ditahan mengesahkan mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, BKS SPRM berkata, Bahagian Siasatan SPRM menjalankan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak menerusi Op Drain.
Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 25 lokasi membabitkan kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan digeledah.
“SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM1.5 juta, sebuah jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Kredit sumber: Harian Metro
