Kuala Lumpur: Latihan Gabungan Bersama Malaysia–Indonesia Darat Samudera Angkasa Siri 12AB/2026 (LATGABMA MALINDO DARSASA 12AB/2026) antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menjadi platform memperkukuh kerjasama pertahanan dan kepercayaan strategis antara dua negara.
Eksesais selama 13 hari itu dirasmikan Brigedier Jeneral TNI Ade David Siregar yang mewakili Asisten Operasi (WAASOPS) Panglima TNI di Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia, semalam.
Ia membabitkan 719 peserta terdiri daripada 463 anggota TNI, 150 anggota ATM, 2 wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 25 anggota Polis Republik Indonesia (POLRI) dan 79 peserta Instansi Indonesia.
Panglima 1 Briged Infantri yang juga Ketua Kelompok Perancang Latihan (KPL) ATM, Brigedier Jeneral Datuk Zamri Othman berkata, eksesais kali ini bukan sekadar latihan rutin tetapi manifestasi jelas ikatan persaudaraan dan kepercayaan strategis antara dua negara.
“Latihan ini mempunyai nilai strategik yang amat besar. Selain menguji konsep operasi gabungan melibatkan domain darat, maritim dan udara.
“Ia turut menyediakan platform untuk meningkatkan kesefahaman terhadap prosedur operasi, memperkukuhkan koordinasi serta membina keyakinan antara anggota kedua-dua angkatan tentera,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, persekitaran keselamatan kini semakin kompleks dengan ancaman bukan tradisional seperti jenayah maritim, penyeludupan, keganasan, ancaman siber dan bencana alam.
Katanya, justeru, kerjasama pertahanan Malaysia–Indonesia perlu terus diperkasakan berasaskan sejarah, budaya dan nilai serumpun.
Zamri berkata, semua peserta diseru memanfaatkan peluang eksesais ini untuk berkongsi pengalaman, memperluas pengetahuan profesional dan memperkukuh hubungan kerja.
Katanya, LATGABMA DARSASA 12AB/2026 akan menjadi simbol komitmen bersama dalam meningkatkan keupayaan operasi dan latihan gabungan serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Majlis itu juga untuk memperkukuhkan hubungan diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Indonesia dengan eksesais terbabit sudah dimulai sejak 1984 melalui General Border Committee (GBC) Malaysia–Indonesia dan Jawatankuasa Latihan Bersama Malaysia–Indonesia (JKLB MALINDO).
Eksesais kali ke-12 itu dilaksanakan setiap tiga tahun secara giliran antara Malaysia dan Indonesia. Kali terakhir dilaksanakan di Pekan, Pahang pada 2023 yang berkonsepkan counter-terrorisme.
Bandar Lampung dipilih sebagai lokasi utama pelaksanaan eksesais itu kerana selaras dengan konsep latihan yang menekankan aspek Humanitarian Aid and Disaster Relief (HADR), Search and Rescue (SAR) serta Cyber Exercise (CyberEx).
Senario eksesais dibangunkan khusus berdasarkan pengalaman sebenar bencana gempa bumi dan tsunami yang pernah melanda Indonesia, khususnya di Sumatera Selatan.
Bagi memastikan pelaksanaan latihan lebih realistik, penekanan turut diberikan kepada sesi akademik semasa Staff Exercise (STAFFEX) yang memfokuskan 10 senario utama antaranya Initial Disaster Response, Mass Casualty Incident, Infrastucrure Collapse, Medical Emergency dan International Assistance.
Pendekatan itu membantu peserta memahami senario dengan lebih mendalam serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh secara berkesan ketika fasa Field Training Exercise (FTX).
Pengisian eksesais turut memberi tumpuan kepada Engineering Civil Action Programme (ENCAP), Medical Civic Action Programme (MEDCAP) dan CyberEx.
Kredit sumber: Harian Metro
