PETALING JAYA: Seramai 52,540 pembayar cukai tampil membuat pengisytiharan pendapatan berjumlah RM4.07 billion menerusi pelaksanaan e-Invois.
Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, sejak sistem itu diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, lebih 230,000 pembayar cukai mengemukakan e-Invois, dengan jumlah 1.505 bilion e-Invois dikeluarkan.
“Perkembangan ini mencerminkan sokongan dan kesediaan pembayar cukai untuk menerima pendigitalan dalam operasi perniagaan,” katanya hari ini.
LHDN dalam masa yang sama turut mengingatkan bahawa semua transaksi jualan barangan atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000 perlu disokong dengan e-Invois bermula 1 Januari 2026.
Katanya, bagi memudahkan proses itu, pembeli dikehendaki memberikan nombor pengenalan atau Nombor Cukai Pendapatan (TIN) kepada penjual bagi memastikan e-Invois dapat dikeluarkan dengan tepat.
“Pihaknya telah membangunkan model analitik bagi mengesan anomali, transaksi mencurigakan serta corak tingkah laku luar biasa untuk tujuan penguatkuasaan.
“Inisiatif itu membolehkan agensi berkenaan menjalankan penilaian risiko dengan lebih berkesan, meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela serta menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negara,” katanya.
Analisis tersebut turut mengenal pasti pembayar cukai yang mempunyai transaksi kewangan aktif tetapi tidak sepadan dengan rekod cukai sedia ada, termasuk pembelian melebihi RM100,000, pembelian kenderaan dan aset, serta transaksi dalam talian aktif tanpa pengisytiharan pendapatan yang sepadan.
LHDN berkata, pihaknya akan terus mengamalkan pendekatan pematuhan berasaskan data melalui maklumat e-Invois, di samping menggalakkan pembayar cukai membuat pembetulan dan pengemaskinian rekod cukai secara sukarela sebelum tindakan lanjut diambil.
“Melalui pendekatan ini, 52,540 pembayar cukai telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran terdahulu, dengan jumlah pendapatan yang diisytiharkan sebanyak RM4.07 bilion serta cukai kena bayar berjumlah RM1.009 bilion,” katanya.
Pada masa sama, pemantauan LHDN mendapati masih terdapat pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan e-Invois.
Antara kesilapan lazim termasuk hanya mengeluarkan e-Invois untuk sebahagian transaksi, gagal merekodkan semua transaksi, menghantar e-Invois berkelompok selepas tempoh yang dibenarkan, serta tidak mengeluarkan e-Invois bagi transaksi melebihi RM10,000.
LHDN menasihatkan semua pembayar cukai supaya mematuhi sepenuhnya keperluan e-Invois dan mereka yang belum mengeluarkan e-Invois bagi transaksi terdahulu diminta mengambil tindakan pembetulan segera.
“Penguatkuasaan dan tindakan undang-undang akan diambil bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi serta menjaga keadilan dalam sistem percukaian negara,” katanya. – UTUSAN
