TAWAU: Tawau bakal mencipta sejarah apabila dipilih menjadi lokasi penganjuran Borneo International Clown Convention (BICC) 2026, sekali gus meletakkan daerah itu sebagai antara destinasi baharu bagi industri pelancongan berasaskan seni persembahan di Sabah.
Konvensyen bertaraf antarabangsa yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos depan di Dewan Calvary Tawau itu setakat ini menerima sambutan memberangsangkan apabila sasaran awal penyertaan seramai 300 peserta telah berjaya dicapai.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, penganjuran itu bukan sekadar menghimpunkan penggiat seni badut dari seluruh dunia tetapi turut menjadi medium memperkenalkan dimensi sebenar seni persembahan yang lebih luas kepada masyarakat.
Menurut beliau, konvensyen berkenaan turut melibatkan penyertaan pelajar dari seluruh daerah Tawau dan Kalabakan bagi memberi pendedahan mengenai seni badut yang bukan hanya tertumpu kepada hiburan kanak kanak, sebaliknya turut merangkumi elemen kreativiti, komunikasi dan pembangunan bakat.
Katanya, sekiranya penganjuran edisi pertama itu menerima sambutan menggalakkan daripada peserta dan orang awam, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk memasukkan Borneo International Clown Convention ke dalam kalender pelancongan rasmi Sabah bermula tahun hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media Borneo International Clown Convention di Dewan Calvary Tawau pada Jumaat.
Sementara itu, penganjur merangkap Pengarah Asia Tenggara Persatuan Badut Sedunia, Donny Ngu berkata, acara berkenaan telah menarik penyertaan daripada sekurang kurangnya 11 negara termasuk Jepun, India, Taiwan, Hong Kong, Singapura dan China.
Menurutnya, idea membawa konvensyen itu ke Sabah tercetus selepas menghadiri satu konvensyen badut antarabangsa di Texas, Amerika Syarikat sebelum mencadangkan Borneo sebagai lokasi baharu dalam rangkaian acara seni persembahan dunia.
Katanya, cadangan menjadikan BICC sebagai acara tahunan turut sedang dipertimbangkan namun pelaksanaannya bergantung kepada sambutan edisi pertama serta kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd, Hady Syam Nureddin berkata pihaknya akan memperluaskan promosi konvensyen menerusi portal pelancongan Hello Sabah serta pelbagai platform media sosial.
Beliau berkata promosi turut disasarkan ke kawasan sempadan Indonesia termasuk Nunukan dan Tarakan bagi menarik lebih ramai peserta serta pengunjung antarabangsa ke Tawau.
Penganjuran BICC dilihat berpotensi membuka lembaran baharu kepada sektor pelancongan kreatif Sabah selain memperkukuh kedudukan Tawau sebagai destinasi acara bertaraf antarabangsa di rantau Borneo.
