KUALA LUMPUR: Parut di wajah menjadi lambang keberanian dan pengorbanan Sarjan Mejar Amran Ab. Aziz.
Pernah ditembak di muka ketika bertugas, ketabahan Amran, 59, untuk bangkit semula menjadi inspirasi buat keluarganya.
Amran memulakan perkhidmatan sebagai anggota polis pada 1988.
Sepanjang 37 tahun berkhidmat, beliau pernah bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Unit Tindakan Khas (UTK), selain menggalas tugas sebagai pegawai pengiring kepada tiga bekas Perdana Menteri.
Namun, tahun 2004 menjadi detik paling hitam dalam hidupnya.
Ketika itu, beliau terbabit dalam kejadian tembak-menembak di sebuah kedai emas di ibu negara.
“Ketika itu berlaku kejadian berbalas tembakan dengan perompak yang bersenjata dan tidak lama kemudian, salah seorang daripada mereka menembak saya serta terkena di bahagian muka,” katanya kepada Buletin TV3 di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Akibat tembakan itu, bapa kepada empat anak itu cedera parah di muka, sekali gus menyebabkan beliau sukar untuk bercakap.
Insiden berkenaan bukan sahaja menguji kekuatannya sebagai anggota polis, malah sebagai ketua keluarga.
Anaknya, Aiman Amran, berkata bukan mudah untuk melihat ayahnya bangkit semula selepas melalui detik hitam itu.
“Tak semua orang boleh bangkit balik macam itu. Saya rasa dia memang struggle betul. Saya sendiri menjadi saksi melihat dia berjuang untuk sembuh semula setiap pagi.
“Saya rasa pengorbanan dia untuk negara sangat berbaloi. Perjuangan mereka tidak ternilai dengan wang ringgit,” katanya.
Di mata anak-anak, ketegasan Amran adalah caranya mendidik mereka agar berjaya dalam kehidupan.
Anak perempuannya, Lara Yasmine Amran, berkata ayahnya sering menekankan nilai tanggungjawab, kasih sayang, didikan agama dan kerja keras dalam keluarga.
“Apa yang ayah saya kata, perlulah ada sifat tanggungjawab terhadap anak-anak, isteri dan keluarga.
“Kasih sayang perlu ada, didikan agama perlu ada dan kerja keras itu perlu untuk tanggung keluarga,” katanya.
Parut di wajah Amran bukan sekadar menjadi saksi sebuah pengorbanan kepada negara, malah bukti jerih perih seorang insan bergelar ayah.
Kredit sumber: Buletin TV3
