LAUT CHINA SELATAN, 21 Jun: Kerjasama keselamatan maritim antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh menerusi Program Rendezvous (RV) dan Patroli Bersama yang melibatkan Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPM W5) Sarawak serta Direktorat Polisi Perairan dan Udara (Ditpolairud), Kepolisian Daerah (Polda) Kalimantan Barat di perairan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat baru-baru ini.
Program tahunan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua agensi untuk berkongsi maklumat operasi, memperkukuh jaringan komunikasi serta mengeratkan hubungan dua hala dalam menangani cabaran keselamatan di kawasan perairan bersama.
Ketua Bahagian Operasi Risik PPM W5 Sarawak, Deputi Superintendan Polis (DSP) Mohd Noor Mohd Yassin berkata, program berkenaan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak khususnya dalam aspek perkongsian maklumat keselamatan maritim.
“Pelbagai maklumat operasi telah dikongsi bagi memperkukuh hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya melibatkan agensi penguat kuasa maritim,” katanya ketika ditemui TVS di lokasi program.
Menurut beliau, perkongsian maklumat yang pantas dan berkesan amat penting bagi membolehkan kedua-dua agensi bertindak segera terhadap sebarang insiden di perairan sempadan.
“Sebaran maklumat awal sangat penting supaya tindakan segera dapat diambil terhadap setiap kejadian yang berlaku di perairan,” jelasnya.
Sementara itu, Kasubdit Patroli Airud Polda Kalimantan Barat, Ajun Komisaris Besar Polisi (AKBP) Y. Andis Arya berkata, kedua-dua pihak turut mencapai kesepakatan untuk memberi tumpuan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR), yang sering melibatkan kawasan perairan sempadan kedua-dua negara.
“Jika berlaku insiden SAR, kedua-dua pihak akan saling bertukar maklumat dan mengambil tindakan susulan dengan segera,” ujarnya.
Beliau berharap program tersebut dapat diteruskan secara berterusan memandangkan kecekapan pertukaran maklumat merupakan faktor penting dalam memastikan setiap isu keselamatan dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.
Dalam pada itu, Mohd Noor turut menyuarakan harapan agar aktiviti RV dan Patroli Bersama dapat dipertingkatkan pada masa hadapan bagi memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di perairan sempadan.
“Kita akan mempergiatkan program ini supaya kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan antara kedua-dua negara dapat terus dipelihara,” katanya.
Program yang berlangsung di atas aset maritim kedua-dua agensi itu bermula seawal pagi selepas delegasi bertolak dari Jeti Telaga Air sebelum menuju ke lokasi pertemuan di perairan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat. Ia mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh kerjasama strategik demi menjamin keselamatan serta kestabilan perairan serantau.-TVS
