KLANG – Sebahagian warga asing sanggup berkahwin dengan wanita tempatan biarpun lebih berusia sebagai strategi mudah untuk mendapatkan lesen perniagaan sebelum mengembangkan empayar bisnes mereka di negara ini.
Modus operandi itu menjadi cabaran kepada pihak berkuasa apabila warga asing terbabit berselindung di sebalik nama dan lesen perniagaan milik isteri tempatan mereka, menyebabkan tindakan pengesanan serta penguatkuasaan sukar dilaksanakan.
Wanita yang telah berusia pula dipercayai mudah terpikat kerana faktor kesunyian, keinginan mendapatkan teman hidup dan sikap penyayang warga asing yang berjaya meraih kepercayaan mereka.
Perkara itu diakui Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain yang menyifatkan trend berkahwin dengan warga tempatan kini semakin ketara.
Katanya, berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan, lesen perniagaan hanya boleh diberikan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
menguasai operasi di negara kita,” katanya.
Tegasnya, terdapat 21,480 lesen perniagaan di Klang melibatkan pelbagai sektor, sekali gus menjadikan pemantauan menyeluruh satu cabaran besar kepada pihak penguat kuasa.
“Bagi penjaja dan gerai milik MBDK, kita boleh capai Indeks Prestasi Utama (KPI) sifar peniaga asing.
“Untuk premis perniagaan, kita lihat statistik dulu dan tidak dapat beri jaminan kerana dalam kilang sekalipun, warga asing begitu ramai,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan kewujudan ratusan premis perniagaan yang diusahakan warga asing di beberapa bandar utama di negara ini makin berleluasa dan diusahakan dengan berani di kawasan terbuka dan tempat tumpuan ramai.
Fenomena itu memberi kesan kepada peniaga tempatan dalam pelbagai sektor termasuk peruncitan dan restoran menyebabkan mereka tidak dapat bersaing sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.
Di Klang khususnya di pusat bandar di Batu Tiga, ‘wajah’ perniagaan orang tempatan dikatakan makin ‘terhakis’ kerana didominasi warga asing termasuk operasi bahagian hadapan seperti juruwang atau penjaga kaunter.
Situasi itu tidak lagi tertumpu kepada sektor tertentu, sebaliknya melibatkan pelbagai premis termasuk kedai runcit, restoran, dan kedai serbaneka yang didakwa hampir sepenuhnya digerakkan oleh tenaga kerja asing. -KOSMO! ONLINE
