PENAMPANG: Seorang wanita tempatan ditahan bersama sejumlah cecair dan daun disyaki ketum dalam satu operasi yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di daerah Putatan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang berkata, tangkapan itu dibuat hasil serbuan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Penampang pada 19 Jun lalu kira-kira jam 1 petang di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang, Putatan.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan susulan maklumat yang diterima berhubung kegiatan memproses dan menyimpan bahan disyaki ketum di kawasan terbabit.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan seorang wanita berusia 43 tahun serta merampas 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dan satu karung plastik putih yang mengandungi dedaun hijau disyaki daun ketum.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM975,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pihak polis turut menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyalahgunaan bahan terlarang diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
