SHAH ALAM: Sebanyak 10 kumpulan ajaran sesat di negeri ini kini berada dalam radar dan pemantauan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata pihaknya dengan kerjasama PDRM mempunyai maklumat berkait 10 kumpulan ajaran sesat berkenaan.
“Fatwa rasmi sudah keluar (mengenai pengharaman ajaran sesat berkenaan)…dalam 10 kumpulan ajaran sesat. Penguatkuasaan sedang dijalankan ketika ini.
“Tidak ada (kumpulan ajaran sesat) yang besar macam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH). Kebanyakannya kumpulan ajaran sesat kecil, saya ambil contoh Qadiani dengan cubaan untuk memulakan (aktiviti) mereka di rumah kedai yang mana kita turun, sita, beri amaran dan mereka hilang.
“Setakat ini, tidak ada (kumpulan ajaran sesat) di tahap yang membimbangkan. Sebab itu kena ada asas undang-undang… jadi fatwa sudah dikeluarkan, maka tindakan perundangan boleh diambil atas mereka (kumpulan berkenaan),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mei lalu, media melaporkan Ketua Bahagian Fatwa Mufti Selangor, Mohamad Shukry Sulaiman, mengesahkan tujuh ajaran diwarta sebagai menyeleweng antara 2021 hingga 2026 selepas melalui proses penyelidikan, temu bual dan siasatan pelbagai pihak bersama JAIS.
Beliau dilaporkan berkata, kertas kajian dibuat selepas benar-benar yakin dan faham dengan pandangan mereka, perbandingan dibuat dengan elemen dalam Ahli Sunnah Waljamaah.
Ajaran berkenaan ialah ajaran Asmaul Husna (2022), Ibu Yati (2022), Makrifat (2024), GISBH (2024), Si Hulk (2025), Risalah Bab Kesucian (2025) dan Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (2026).
Kredit sumber: Berita Harian
