KOTA KINABALU, 25 Jun 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 91 warga asing dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di daerah Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan Ranau bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Operasi yang dijalankan melibatkan pelbagai tindakan penguatkuasaan termasuk Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip yang memfokuskan kepada pengesanan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Di Kota Kinabalu, seramai 151 individu telah diperiksa dan 46 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas.
Daripada jumlah tersebut, tangkapan membabitkan 43 warga Filipina terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan. Turut ditahan ialah dua lelaki dewasa warga Indonesia dan seorang lelaki dewasa warga Pakistan.
Sementara itu, di Kudat, seramai 46 individu telah diperiksa dalam Ops Sapu yang dilaksanakan dan sembilan warga asing ditahan. Kesemua yang ditahan merupakan warga Filipina terdiri daripada seorang lelaki dewasa, empat perempuan dewasa dan empat kanak-kanak lelaki.
Di Tawau pula, operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Tawau dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau telah memeriksa seramai 159 individu.
Hasil operasi tersebut, seramai 23 warga asing ditahan membabitkan 12 warga Filipina terdiri daripada enam lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala 11 lagi adalah warga Indonesia yang terdiri daripada lima lelaki dewasa dan enam perempuan dewasa.
Bagi daerah Ranau, seramai 17 individu diperiksa dalam Ops Sapu dan 13 warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dewasa warga Filipina serta enam warga Indonesia melibatkan dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha @ Sh Saleha Yussof berkata, operasi berterusan akan terus dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara serta membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI amat dihargai bagi membantu pihak berkuasa memperkukuhkan usaha penguatkuasaan di seluruh negeri. – DAKWAT RAKYAT POST
