Kuala Lumpur: Kegiatan sindiket menjadikan sebuah kilang terbiar di Cheras sebagai makmal memproses pil ekstasi dan MDMA terbongkar susulan penahanan tujuh individu serta rampasan dianggarkan bernilai RM135.63 juta dalam serbuan Ops Horitus di sekitar ibu negara pada 20 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua yang ditahan terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 20 hingga 55 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Cheras Utama berjaya menahan lima suspek serta merampas tiga bungkusan disyaki serbuk MDMA seberat 26.40 kilogram dan 44 bungkusan pil ekstasi seberat 75.41 kilogram.
“Serbuan kedua dijalankan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MVP) Toyota Alphard yang di parkir di kawasan Pudu Impian IV sebelum berjaya menahan dua lagi suspek serta merampas satu peket plastik disyaki ketamin seberat lima gram.
“Hasil soal siasat membawa kepada serbuan ketiga di sebuah premis perindustrian terbiar di Cheras Baharu yang dijadikan lokasi menyimpan dan memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hussein berkata, di premis itu, polis menemukan 13 bungkusan pil ekstasi seberat 95.80 kilogram, 11 bungkusan serbuk MDMA seberat 48.42 kilogram serta 760 liter cecair MDMA.
“Keseluruhan rampasan membabitkan 97.1 kilogram pil ekstasi, 47.12 kilogram serbuk MDMA, 760 liter cecair MDMA dan lima gram ketamin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM135.63 juta.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak November tahun lalu dengan mendapatkan bahan prekursor untuk memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama hingga kelima serta suspek ketujuh negatif dadah, manakala suspek keenam didapati positif ketamin.
“Semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, manakala suspek lain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dadah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline JSJN di 012-2087222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
