KOTA KINABALU, 27 Jun – Sedco Communications Sdn. Bhd. (SCOMM) mengorak langkah baharu dengan memperluaskan fokus perniagaannya daripada penyedia infrastruktur telekomunikasi kepada peneraju penyelesaian teknologi pintar merangkumi Kecerdasan Buatan (AI), Bandar Pintar, Infrastruktur Pintar, Tenaga Hijau, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) serta transformasi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOMM, Subha Maraiah, berkata walaupun telekomunikasi kekal sebagai teras utama syarikat, perkembangan pesat teknologi memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memenuhi keperluan pembangunan masa depan Sabah.
Menurut beliau, transformasi tersebut turut diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik bersama Cosmos International Consultancy yang kini menjadi sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan SCOMM melalui pengambilalihan Vast Meridian.
“Gabungan kepakaran dan pengalaman ini akan memperkukuhkan keupayaan kami dalam membangunkan penyelesaian teknologi dan infrastruktur yang inovatif, mampan serta berimpak tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran hala tuju baharu SCOMM.
Sebagai anak syarikat Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), beliau berkata SCOMM komited untuk terus bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan, sektor swasta serta rakan industri dalam menjayakan projek-projek strategik yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri.
Beliau percaya kerjasama erat antara semua pihak mampu mempercepat pembangunan Sabah ke arah sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing, lestari dan makmur.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepada SCOMM sepanjang penubuhannya.
“Saya berharap hubungan strategik yang terjalin hari ini akan terus diperkukuhkan demi mencapai aspirasi bersama dalam membina masa depan Sabah melalui inovasi, teknologi dan kerjasama,” katanya.
Majlis itu turut menjadi platform memperkenalkan identiti baharu SCOMM yang membawa slogan “From Connecting Networks to Connecting the Future”, mencerminkan komitmen syarikat dalam menerajui pembangunan teknologi dan infrastruktur pintar di Sabah.
