KOTA KINABALU, 28 Jun 2026 – Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) mengadakan majlis penghargaan bagi meraikan jasa dan sumbangan mantan Timbalan Pengerusi SAFMA, Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit, yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan syarikat sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi SAFMA, Datuk Mohammad Mohamarin, yang turut mengalu-alukan pelantikan Khazarudin Kahar sebagai Timbalan Pengerusi baharu SAFMA.
Mohammad berkata, pihak pengurusan dan kepimpinan SAFMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Isquzawan Israq atas dedikasi, komitmen serta khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang beliau bersama syarikat.
“Segala sumbangan beliau amat dihargai dan menjadi antara faktor yang membantu memperkukuhkan hala tuju syarikat dalam memperkasa industri perikanan serta pemasaran hasil laut di Sabah.
“Kami mendoakan agar beliau terus diberikan kejayaan dalam setiap amanah yang dipikul dan berharap hubungan baik yang terjalin akan terus berkekalan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pelantikan Khazarudin Kahar sebagai Timbalan Pengerusi baharu akan memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan SAFMA dalam meneruskan agenda pembangunan syarikat, sekali gus meningkatkan daya saing industri perikanan negeri demi manfaat nelayan serta seluruh rantaian industri.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar SAFMA, Burhan Jafar; Timbalan Pengurus Besar, Azis Ali Amat; Ahli-ahli Lembaga Pengarah SAFMA; serta warga kerja syarikat.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan penghargaan itu menjadi simbol penghormatan terhadap jasa Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit, di samping mencerminkan kesinambungan kepimpinan SAFMA dalam meneruskan kecemerlangan syarikat.
