SANDAKAN, 29 Jun 2026 – Penduduk di kawasan Gum-Gum dan sekitarnya bakal menikmati liputan perkhidmatan kecemasan yang lebih pantas apabila sebuah Balai Bomba dan Penyelamat baharu akan dibina di kawasan itu selepas projek berkenaan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Pelan Pusingan Pertama.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, Balai Bomba Kategori C yang dikenali sebagai Balai Bomba Gum-Gum itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan dan hanya menunggu proses pengosongan tapak sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan.
Beliau berkata, kelulusan projek tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan keselamatan kepada masyarakat, khususnya di kawasan yang semakin pesat membangun.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Kerajaan MADANI telah meluluskan pembinaan Balai Bomba Kategori C di Gum-Gum yang bernilai di bawah RMK13 Rolling Plan Pertama. Kini hanya menunggu proses pengosongan tanah sebelum pembinaan dapat dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kempen Kesedaran dan Keselamatan Kebakaran, Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA), Program 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api (1RAPI) serta Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Kampung Tinusa 2, di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz.
Menurut Suhaimi, pembinaan balai bomba baharu itu amat diperlukan bagi meningkatkan kecekapan operasi pasukan bomba memandangkan Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan ketika ini perlu meliputi kawasan operasi yang sangat luas.
Katanya, balai sedia ada yang dikategorikan sebagai Balai Bomba Kategori B meliputi kawasan seluas kira-kira 198 kilometer persegi dengan kekuatan hanya 67 anggota, sekali gus menjadikan penambahan sebuah balai baharu sebagai keperluan mendesak.
“Balai Bomba Sandakan ketika ini meliputi kawasan operasi kira-kira 198 kilometer persegi. Dengan kekuatan hanya 67 anggota, ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan semasa. Sebab itu saya telah mengemukakan cadangan pembinaan balai baharu ini kepada kerajaan beberapa tahun lalu dan akhirnya diluluskan di bawah RMK13 Rolling Plan Pertama,” katanya.
Beliau yakin pembinaan Balai Bomba Gum-Gum akan memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan, mengurangkan masa respons terhadap insiden kebakaran dan bencana serta memberi manfaat kepada penduduk di Gum-Gum dan kawasan berhampiran. – DAKWAT RAKYAT POST
