KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana menyebabkan kematian anak angkat perempuannya dengan mencubit, menampar dan menggigit mangsa sehingga lebam pada muka dan keseluruhan badannya, tahun lalu.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Subrina Imran, 39, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 31 Julai 2025.
Wanita terbabit didakwa menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras, di sini, pada jam 10 malam, 29 Julai 2025 hingga jam 7 pagi, 30 Julai 2025.
Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.
Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga suami tertuduh bahawa anak angkatnya tidak sedarkan diri.
Susulan itu, polis pergi ke tempat kejadian dan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang serta tidak bernyawa di tempat tidur bayi di sebuah bilik rumah berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian muka dan keseluruhan badan mangsa.
Tertuduh juga mendera mangsa dengan mencubit, menampar dan menggigit bayi itu serta menganiayainya dengan cara menghisap dadah jenis syabu serta menghembuskan ke dalam mulut mangsa.
Polis turut menjumpai perbualan WhatsApp dihantar tertuduh kepada suaminya yang menyatakan perbuatannya terhadap mangsa dengan kata-kata ‘Aku kasi lebam budak itu separuh mati’.
Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin memohon hukuman berat dan setimpal memandangkan kesalahan itu meragut nyawa seorang bayi tujuh bulan yang tidak berupaya mempertahankan dirinya.
“Pada usia itu, mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan, namun individu sepatutnya menjaga dan melindunginya menjadi punca kepada penderitaan dan kematiannya. Fakta kes juga menunjukkan mangsa dicubit, ditampar dan digigit oleh tertuduh.
“Perbuatan itu jelas menunjukkan suatu penderaan fizikal berulang dan disengajakan terhadap bayi berkenaan. Hukuman perlu memberi mesej jelas bukan saja kepada tertuduh, malah masyarakat sana bahawa penderaan kanak-kanak sehingga mati tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, Siti Subrina yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai anak kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit jantung. – BERNAMA
