Screenshot
SEMPORNA: Malaysia melakar sejarah dalam usaha pemuliharaan marin apabila berjaya melancarkan inisiatif pertama pemulihan rumpai laut tropika eucheumatoid di Pulau Selakan, Semporna.
Projek perintis itu menghimpunkan penyelidik, pengamal pemuliharaan, agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam usaha bersama memulihara antara sumber marin penting negara.
Inisiatif berkenaan diterajui oleh Universiti Malaya (UM) menerusi kerjasama dengan Reef Check Malaysia, Taman-Taman Sabah dan Kumpulan Pemuliharaan Marin Selakan, sekali gus membuktikan kepentingan kerjasama strategik dalam memperkukuh pemulihan ekosistem marin serta menyokong kelestarian kehidupan masyarakat pesisir pantai.
Ketua Projek daripada Institut Sains Lautan dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Dr. Lim Phaik Eem, menyifatkan inisiatif itu sebagai satu pencapaian penting buat negara.
“Ini merupakan projek pemulihan rumpai laut pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada rumpai laut tropika eucheumatoid, iaitu kumpulan rumpai laut yang mempunyai nilai ekologi dan ekonomi yang tinggi kepada komuniti pesisir.
“Menerusi projek ini, kami bukan sahaja mahu memulihkan populasi rumpai laut liar, malah memperkukuhkan pengetahuan saintifik, amalan pemuliharaan serta memperkasakan peranan komuniti dalam menjaga sumber marin,” katanya.
Usaha pemulihan itu merupakan sebahagian daripada projek antarabangsa Seaweed-PROTECT yang dibiayai oleh UK Research and Innovation (UKRI) melalui Biotechnology and Biological Sciences Research Council (BBSRC).
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama global melibatkan Natural History Museum (United Kingdom), Scottish Association for Marine Science (SAMS) dan Universiti Malaya, selain turut menerima sokongan daripada Dana Padanan Universiti Malaya.
Rumpai laut eucheumatoid, termasuk spesies komersial pengeluar karagenan, memainkan peranan penting dalam menyokong biodiversiti marin, sumber pendapatan komuniti pesisir serta perkembangan industri rumpai laut negara.
Bagaimanapun, populasi liar spesies itu kini semakin terancam akibat perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar dan pelbagai tekanan berpunca daripada aktiviti manusia.
Pulau Selakan dipilih sebagai lokasi pemulihan kerana mempunyai nilai ekologi yang tinggi selain komitmen kukuh masyarakat setempat terhadap usaha pemuliharaan.
Ahli-ahli Kumpulan Pemuliharaan Marin Selakan turut terlibat secara aktif dalam pelaksanaan projek, sekali gus memastikan usaha pemuliharaan berasaskan pengetahuan tempatan dan penyertaan komuniti.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan daya tahan ekosistem marin tropika, di samping memastikan sumber rumpai laut dapat dimanfaatkan secara lestari untuk generasi akan datang.
Rakan-rakan projek berharap kejayaan program pemulihan di Pulau Selakan akan menjadi model kepada pelaksanaan lebih banyak program pemuliharaan dan pemulihan rumpai laut di seluruh Malaysia serta rantau Asia Tenggara.
