TAWAU , 30 Jun 2026 – Seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai petani dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine melebihi satu kilogram, dalam kejadian dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, selepas mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah, manakala pembelaan gagal menafikan pertuduhan yang dikenakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh, Amriadi, 40, didapati mengedar methamphetamine seberat 1,078.9 gram di kawasan pemeriksaan penumpang, Jeti Terminal Feri Tawau, kira-kira jam 9.45 pagi pada 11 Oktober 2024.
Siasatan mendapati dadah berkenaan disorok pada tubuh tertuduh dengan menggunakan seluar dalam wanita dan bengkung sebagai usaha untuk menyeludup keluar bahan terlarang itu dari Malaysia.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan disabitkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Ketika prosiding rayuan hukuman, peguam bela, Jhassery P. Kang, memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan dengan mengambil kira bahawa anak guamnya merupakan pesalah kali pertama, mempunyai seorang anak perempuan dan menunjukkan penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif berhujah bahawa hukuman tegas wajar dikenakan memandangkan jumlah dadah yang dirampas adalah besar selain mengambil kira kepentingan awam dalam usaha membendung jenayah pengedaran dadah.
Dalam penghakimannya, Steve menyatakan kaedah tertuduh menyembunyikan dadah pada tubuh menggunakan pakaian khas menunjukkan perbuatan itu dirancang dengan teliti dan dilakukan secara sengaja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan, dengan hukuman penjara berkuat kuasa bermula pada tarikh tangkapannya iaitu 11 Oktober 2024. – DAKWAT RAKYAT POST
