Tumpat: Sindiket pemerdagangan manusia kini semakin giat merekrut wanita tempatan sebagai ‘tonto’ bagi memantau pergerakan anggota penguat kuasa di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, ia antara taktik yang digunakan sindiket bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket pemerdagangan manusia menggunakan pelbagai taktik untuk memudahkan penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI), termasuk menempatkan wanita tempatan sebagai pemberi maklumat bagi memantau operasi penguatkuasaan.
“Kami telah mengenal pasti laluan yang digunakan PATI untuk memasuki negara ini, selain mengetahui modus operandi sindiket berkenaan.
“Keutamaan kami adalah menyasarkan pintu masuk haram PATI dan melumpuhkan sindiket yang mengatur pergerakan rentas sempadan secara haram,” katanya.
Beliau berkata, PPM sudah mengenal pasti lebih 10 ‘hotspot’ penyeludupan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand yang dipercayai digunakan sindiket berkenaan.
Mohd Khairuddin berkata, beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pegawai dan anggota risikan di Pangkalan Polis Marin Pengkalan Kubor bagi mengenal pasti sasaran utama serta menyelaras operasi membanteras sindiket penyeludupan migran.
“Operasi kami kini memberi tumpuan kepada usaha melumpuhkan rangkaian jenayah yang mendalangi aktiviti rentas sempadan secara haram.
“Anggota kami telah ditempatkan di kawasan berkenaan sejak tiga bulan lalu, namun setakat ini kami masih belum mencatat kejayaan besar.
“Kami percaya antara cabaran utama ialah kewujudan tonto yang sentiasa memantau pergerakan anggota penguat kuasa.
“Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan maklumat, termasuk menggunakan wanita tempatan sebagai tonto,” katanya.
Beliau berkata, penduduk tempatan turut memainkan peranan penting dalam sindiket berkenaan sebagai penunjuk arah, penghantar serta pelindung, selain mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan jenayah dan rangkaian migran di negara jiran.
“Kami berusaha melumpuhkan keseluruhan rangkaian penyeludupan migran. Kami serius untuk menamatkan kegiatan ini dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Mohd Khairuddin berkata, walaupun penyeludup akan terus mencari peluang untuk melakukan jenayah rentas sempadan, pihak polis marintetap komited menutup setiap laluan yang digunakan.
“Kami akan terus memperhebat operasi bagi mengurangkan dan akhirnya menghapuskan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
