Cheras: “Tak pernah terlintas nak berkahwin lagi walaupun kami tiada rezeki dapat anak. Biarlah isteri jadi cinta pertama dan terakhir sebab saya sayangkan dia,” kata Mohamad Azmi Mohamad, 74.
Walaupun sudah 43 tahun melayari hidup berumah tangga Mohamad Azmi dan isteri, Bahariah Selamat, 64, tidak dikurniakan zuriat, namun hubungan mereka masih romantis dan kemesraan dipamerkan ibarat pasangan bercinta.
Mohamad Azmi bagaimanapun bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan isterinya dan mengakui tidak pernah merancang soal zuriat sejak awal perkahwinan lagi kerana yakin dengan aturan Allah SWT.
“Kami tak letak sasaran nak berapa orang anak. Jika ada, kami terima, tak ada pun kami reda. Ditakdirkan kami tiada rezeki menimang cahaya mata jadi itu hakikat yang kami perlu terima.
“Ikutkan, saya sudah berdamai dengan takdir selepas lima tahun berkahwin lagi tapi ada juga berikhtiar termasuk melakukan rawatan tradisional,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Bandar Tun Hussein Onn, di sini.
Menurut Mohamad Azmi, keluarganya dan isteri memahami malah tidak pernah mempersoalkan namun mereka sering diajukan pertanyaan mengenai zuriat terutama ketika awal perkahwinan.
Bagaimanapun Mohamad Azmi mengakui dia dan isteri akhirnya lali hingga tidak lagi terkesan dengan pertanyaan yang ada kalanya berbaur sinis.
“Soalan mengenai anak itu biasa cuma ada yang bertanya dengan mimik muka sinis. Tapi reaksi mereka itu tak membuatkan saya berkecil hati pun.
“Jujurnya saya tak sunyi pun tiada anak, jauh sekali jadikan ia sebagai alasan untuk berkahwin lagi,” katanya yang mencari rezeki sebagai peniaga air soya dan tau fu fah di pasar malam dekat Nanding, Hulu Langat, Selangor.
Selagi bernyawa, Mohamad Azmi berkata dia akan terus menjadi pelindung dan peneman setia isterinya.
“Kalau Allah SWT nak jemput, jemput kedua-duanya sekali dan jangan tinggalkan salah seorang daripada kami.
“Saya doakan juga semoga hubungan dan jodoh kami berpanjangan sampai ke syurga. Terima kasih juga yang mendoakan kami di media sosial malah saya menangis baca komen kerana ramai tawarkan diri jadi anak angkat kami,” katanya.
Sementara itu, Bahariah berkata, dia dan suami pernah berikhtiar mendapatkan zuriat termasuk mencuba rawatan tradisional namun tidak diizinkan Allah SWT untuk menimang cahaya mata.
Katanya, akhirnya dia reda namun pernah bertanya kepada suaminya sama ada mahu berkahwin lagi atau tidak.
“Suami beritahu dia tak terfikir ke arah itu (berkahwin lagi) dan kata ada hikmah Allah SWT tak bagi rezeki dapat anak.
“Suami minta jangan risau dan terlalu memikirkannya jadi saya pun tenang malah sejak usia 30-an, saya tak lagi bersungguh untuk berikhtiar dapatkan anak.
“Sekarang tak lagi rasa sedih atau patah semangat kerana walaupun tiada anak, Allah SWT bagi saya dengan suami nikmat sihat dalam usia begini,” katanya.
Menurut Bahariah, dia juga tidak berasa sunyi kerana sentiasa ada suami sebagai peneman walaupun mereka tinggal berdua dan tidak terfikir soal anak memandangkan sibuk dengan perniagaan.
Katanya, dia dan suami juga memiliki ramai anak saudara, cucu dan cicit saudara yang menjadi sandaran untuk menumpang kasih.
“Kami memang rapat malah kerap keluar bersama sehingga ada yang akan tanya misalnya jika nampak suami di luar tanpa saya.
“Bergaduh itu memang ada tapi suami penyabar orangnya jadi dia yang banyak mengalah. Alhamdulillah, Allah SWT panjangkan jodoh kami dan harap kebahagiaan ini berterusan sampai ke syurga,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
