Selepas mengharungi lebih 15,000 kilometer perjalanan selama 27 hari merentasi China dan Tibet, 13 penunggang motosikal pengembaraan dari Malaysia dan Indonesia akhirnya berjaya menamatkan ekspedisi yang membawa mereka ke antara laluan altitud tinggi paling mencabar di dunia.
Misi itu berakhir apabila konvoi kembali ke Mohan, wilayah Yunnan, sekali gus melengkapkan pengembaraan yang menguji ketahanan fizikal, mental serta keupayaan motosikal dalam pelbagai keadaan muka bumi.
Selepas menawan Everest Base Camp (EBC) pada penghujung ‘Leg One’, kumpulan itu meneruskan perjalanan memasuki fasa kedua ekspedisi dengan menyusuri laluan menuju Chamdo di timur Tibet. Kawasan itu terkenal dengan bentuk muka bumi yang lebih mencabar, dipenuhi lembah curam, sungai deras dan jalan berliku yang memerlukan tahap kawalan motosikal lebih tinggi.
Perjalanan kemudian diteruskan ke Kangding di wilayah Sichuan yang terkenal dengan budaya masyarakat Khampa Tibet serta panorama alpine yang memukau. Berbeza dengan dataran tinggi Tibet yang luas, laluan menuju Kangding dipenuhi selekoh tajam, hutan gunung dan gaung dalam, sekali gus menawarkan pengalaman tunggangan yang berbeza kepada peserta.
Apabila semakin menghampiri penghujung ekspedisi, konvoi memasuki Kunming yang dikenali sebagai ‘City of Eternal Spring’ sebelum menamatkan keseluruhan perjalanan dengan kembali ke Mohan, lokasi sama yang menjadi titik permulaan misi hampir sebulan sebelum itu.
Selain cabaran tunggangan, ekspedisi itu turut menghadirkan pengalaman bermakna apabila berlangsung serentak dengan sambutan Aidiladha yang disambut di Derge, sebuah bandar bersejarah di GarzÍ Tibetan Autonomous Prefecture yang terkenal dengan warisan budaya dan pusat percetakan kitab Buddha Tibet berusia ratusan tahun. Bagi peserta, menyambut Aidiladha di kawasan pedalaman Tibet menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.
Beberapa hari kemudian, kumpulan itu tiba di Chengdu dan mengambil kesempatan menunaikan ibadah korban bersama komuniti Islam tempatan. Pengalaman meraikan Aidiladha di dua lokasi yang berbeza memperlihatkan kepelbagaian budaya serta kewujudan komuniti Islam di China yang mungkin kurang diketahui masyarakat luar.
Sepanjang perjalanan, peserta turut berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan cuaca secara mendadak, suhu rendah, laluan berbatu, jalan kerikil serta altitud melebihi 4,000 meter dari paras laut.
Dalam keadaan udara yang semakin nipis, setiap penunggang perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tunggangan selain memastikan motosikal sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Bagi kumpulan itu, kejayaan menamatkan ekspedisi bukan hanya diukur melalui jarak perjalanan atau destinasi yang berjaya ditawan. Lebih penting ialah peluang mendekati masyarakat setempat, memahami budaya tempatan serta membina hubungan persahabatan yang merentasi sempadan negara melalui minat yang sama terhadap dunia pengembaraan dua roda.
Sepanjang ekspedisi, 11 penunggang dari Malaysia bersama dua peserta dari Indonesia turut berperanan sebagai duta kecil yang memperkenalkan negara masing-masing kepada masyarakat tempatan.
Interaksi ringkas di setiap persinggahan membuktikan motosikal bukan sekadar medium pengangkutan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan budaya dan persahabatan tanpa mengira bahasa atau sempadan.
Dengan berakhirnya pengembaraan selama 27 hari itu, peserta bukan sahaja membawa pulang ribuan gambar dan kenangan sepanjang perjalanan, malah pengalaman berharga yang sukar diulang.
Ketua Ekspedisi, Rosmadi Saad, berkata laluan ekspedisi itu dirancang khusus berteraskan konsep Ride-Explore-Enjoy, dengan memberi penekanan kepada pengalaman meneroka berbanding mengejar destinasi semata-mata.
“Ekspedisi ini disertai rakan-rakan rapat dan tidak dibuka kepada orang ramai kerana ia bukan berkonsepkan perniagaan. Alhamdulillah, semua peserta berjaya menamatkan misi seperti yang dirancang apabila selamat tiba di Everest Base Camp. Malah, sebahagian daripada kami turut berpeluang menunaikan ibadah korban di Chengdu. Paling penting, semua peserta selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Rosmadi berkata, kejayaan ekspedisi itu membuktikan pengembaraan motosikal bukan sekadar mengenai destinasi, sebaliknya menjadi medium untuk meneroka budaya, mengeratkan persahabatan dan menguji kemampuan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan.
Debu Himalaya yang masih melekat pada motosikal masing-masing menjadi saksi kepada sebuah ekspedisi yang bukan sahaja berjaya menawan antara laluan paling mencabar di dunia, malah meninggalkan kenangan yang akan dikenang sepanjang hayat.
Kredit sumber: Harian Metro
