KOTA KINABALU, 13 Julai – Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan segera bagi menangani beberapa isu melibatkan kemudahan awam di Taman Perdana Tanjung Aru susulan maklum balas yang diterima daripada orang ramai.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, pihaknya menyambut baik pembukaan semula taman rekreasi berkenaan yang kini kembali menjadi tumpuan penduduk tempatan, keluarga serta pelancong untuk beriadah.
Namun katanya, beberapa kemudahan di taman itu masih memerlukan perhatian segera agar keselesaan dan keselamatan pengunjung sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, antara isu yang sering dibangkitkan ialah keadaan tandas awam yang kurang memuaskan dari segi kebersihan dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan, selain terdapat laluan pejalan kaki yang mengalami kerosakan serta kemudahan air minuman yang memerlukan penambahbaikan.
Menurutnya, Taman Perdana bukan sahaja menjadi lokasi riadah masyarakat setempat, malah turut menerima kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
“Keadaan kemudahan awam yang bersih, selamat dan selesa amat penting kerana ia turut mencerminkan imej Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta DBKK menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua kemudahan yang terdapat di taman berkenaan, termasuk tandas awam, laluan pejalan kaki, kemudahan air minuman, sistem pencahayaan, perparitan, kolam serta kemudahan rekreasi lain.
David berkata, tandas awam perlu dipastikan sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat, berfungsi dengan baik serta diselenggara secara berkala.
Katanya, kemudahan yang rosak atau tidak diselenggara bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengunjung, malah boleh memberikan gambaran kurang baik terhadap imej bandar raya dan sektor pelancongan Sabah.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa agar kerja-kerja membaik pulih laluan pejalan kaki yang rosak dilaksanakan segera bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya membabitkan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berpandangan bahawa pembukaan semula sesebuah taman awam tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada akses kepada orang ramai, sebaliknya semua kemudahan asas perlu berada dalam keadaan terbaik sebelum digunakan sepenuhnya.
Tambahnya, penyelenggaraan secara berkala serta pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap aset awam sentiasa berada dalam keadaan baik, sekali gus mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada masa hadapan.
Selain itu, YPNM turut mencadangkan supaya DBKK memperkenalkan jadual penyelenggaraan dan pemantauan berkala di Taman Perdana serta mengambil tindakan pantas terhadap setiap aduan yang diterima bagi memastikan kawasan rekreasi itu terus bersih, selamat dan selesa.
Pada masa sama, orang ramai turut diseru memainkan peranan menjaga kebersihan taman dengan tidak membuang sampah sesuka hati, mengelakkan perbuatan vandalisme serta menggunakan kemudahan awam secara bertanggungjawab.
Menurut David, Taman Perdana merupakan aset awam yang menjadi kebanggaan Kota Kinabalu dan pemeliharaannya bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak agar ia terus menjadi ruang rekreasi yang berkualiti untuk dinikmati rakyat Sabah dan para pelancong. – DAKWAT RAKYAT POST
