KOTA KINABALU, 13 Julai 2026 – Pendedahan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, bahawa perjanjian pembayaran royalti petroleum lima peratus yang ditandatangani pada 1976 tidak pernah dibincangkan di peringkat Kabinet Negeri, mencetuskan persoalan baharu berhubung proses dan kesahihan perjanjian berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook berkata, kenyataan Pairin membuka semula perdebatan mengenai sejarah pengurusan hak petroleum Sabah dan menimbulkan persoalan sama ada proses yang dilalui ketika itu memenuhi tatacara pentadbiran yang sewajarnya.
Menurut beliau, berdasarkan kenyataan Pairin, bekas Ketua Menteri itu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu hanya hadir sebagai saksi semasa majlis menandatangani perjanjian berkenaan dan tidak terbabit dalam proses membuat keputusan.
Katanya, sekiranya dakwaan itu benar, rakyat Sabah berhak mengetahui mengapa satu perjanjian yang memberi kesan besar terhadap hasil negeri serta pengurusan sumber petroleum tidak dibincangkan dan diputuskan secara rasmi oleh Kabinet Negeri.
Tham turut merujuk kenyataan Senator Sarawak, Datuk Robert Lau Hui Yew, yang sebelum ini membangkitkan isu berkaitan dokumen penyerahan hak minyak dan gas Sarawak kepada PETRONAS pada tahun 1976.
Menurut beliau, Robert mendakwa dokumen berkenaan tidak pernah dibentangkan di Parlimen, selain tidak mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri dan Kabinet Negeri Sarawak, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai asas undang-undang serta legitimasi perjanjian tersebut.
Beliau berkata, perkembangan itu turut menimbulkan persoalan sama ada proses yang sama berlaku di Sabah ketika perjanjian petroleum ditandatangani pada tahun 1976.
Sehubungan itu, Tham menggesa Kerajaan Negeri Sabah memberikan penjelasan berhubung beberapa perkara, termasuk sama ada semakan undang-undang atau penelitian terhadap rekod sejarah telah dilakukan susulan pendedahan Pairin.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan sama ada perjanjian petroleum tersebut pernah dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet Negeri Sabah serta dibahaskan di Dewan Undangan Negeri.
Menurutnya, sekiranya perkara itu tidak pernah melalui proses berkenaan, kerajaan negeri perlu menjelaskan sama ada pandangan undang-undang telah diperoleh daripada Peguam Besar Negeri atau pihak berkaitan bagi menentukan kedudukan perjanjian tersebut dari sudut perundangan.
Dalam kenyataan sama, Tham turut mempersoalkan mengapa kepimpinan kerajaan negeri ketika ini masih belum memberikan reaksi terhadap pendedahan yang dibuat oleh Pairin, walaupun sering menegaskan komitmen mempertahankan hak-hak Sabah.
Beliau bagaimanapun mengakui bekas Ketua Menteri, Tun Harris Salleh, sebelum ini mempertahankan keputusan berhubung perjanjian berkenaan dengan menjelaskan bahawa urusan petroleum berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan tidak memerlukan kelulusan Kabinet Negeri.
Namun, katanya, penjelasan itu masih belum menjawab persoalan utama yang dibangkitkan rakyat mengenai sama ada Kerajaan Negeri Sabah ketika itu benar-benar memberikan persetujuan secara rasmi, telus dan mengikut prosedur sebelum hak petroleum negeri diserahkan kepada pengurusan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri yakin proses berkenaan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, maka dokumen berkaitan termasuk rekod Kabinet Negeri, pandangan undang-undang serta bukti kelulusan sewajarnya didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat menilai sendiri fakta sejarah tersebut.
Menurut Tham, isu berkenaan bukan lagi sekadar berkaitan sejarah, sebaliknya menyentuh hak, maruah dan masa depan rakyat Sabah yang berhak mengetahui kedudukan sebenar proses perjanjian petroleum yang dimeterai pada tahun 1976. – DAKWAT RAKYAT POST
