Lapan pelajar diiring keluar dari Mahkamah Majistret Tawau selepas prosiding permohonan reman bagi membantu siasatan kes pergaduhan.
TAWAU: Mahkamah Majistret membenarkan polis menahan reman lapan pelajar lelaki selama dua hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan dan rusuhan di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas.
Perintah reman hingga 17 Julai itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, Inspektor Nurul Amira Razali.
Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah, polis menerima maklumat berhubung satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar sebuah sekolah menengah dengan seorang lelaki awam yang menggunakan topi keledar sebagai senjata.
Susulan kejadian itu, sepasukan polis menahan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun, kira-kira pukul 3 petang, semalam.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Gambar dan video berkenaan dipercayai disunting menggunakan wajah dua individu sebelum dikatakan tersebar di media sosial.
Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati, tiada video suntingan AI yang dikatakan tular di semua laman media sosial.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
