KOTA BHARU: Cubaan sindiket menggunakan dua kenderaan Perodua Alza bagi menyeludup 2.8 tan minyak masak bersubsidi ke Thailand berjaya dipatahkan menerusi dua operasi berasingan di Pasir Putih dan Pasir Mas, semalam.
Menerusi serbuan itu, pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.
Seorang lagi suspek melarikan diri dengan terjun sungai selepas kenderaannya terbabas dan merempuh bangsal ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Operasi itu dilakukan menerusi Op Tiris 4.0 membabitkan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN dan PDRM Kelantan dan risikan antara jam 12.20 hingga 1.30 tengah hari.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf, berkata ketika risikan dilakukan pihaknya mengesan Perodua Alza bewarna merah dan biru dipercayai digunakan sindiket untuk mengangkut minyak masak bersubsidi untuk diseludup ke negara jiran.
Katanya, pihaknya kemudian mengekori kedua-dua kenderaan terbabit ke satu lokasi dipercayai tempat bekalan diperoleh.
“Menerusi serbuan pertama di Jalan Pasir Puteh berhampiran sebuah stesen minyak, pemandu Perodua Alza berwarna merah berjaya ditahan. Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa sebanyak 1,445 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi pelbagai jenama .
“Sebuah lagi Perodua Alza berwarna biru melarikan diri sebelum kenderaan terbabit terbabas merempuh sebuah bangsal di Kampung Jakar, Banggol Che Dol, Pasir Mas. Pemandu berkenaan bertindak terjun sungai bagi mengelak ditahan.
“Pemeriksaan awal terhadap kenderaan yang ditinggalkan itu menemukan 80 kotak minyak masak bersubsidi seberat 1,360 kg yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Hanif Yusabra berkata, menerusi serbuan berkenaan pihaknya turut menyita dua kenderaan dan keseluruhan 2.8 tan minyak masak membabitkan nilai RM43,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala usaha mengesan suspek masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu di rantau Panjang, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang pemuda dan merampas 350kg durian bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai lebih RM50,000 di pangkalan haram Abe Li Posmen, di sini, semalam.
Tangkapan jam 9.30 pagi itu dilakukan Batalion 9 menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata ketika rondaan dilakukan, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui 350kg durian dipercayai dari Thailand dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM50,000.
“Pemandu berusia 20 tahun berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan buah-buahan yang dibawa sebelum kita menahan dan merampas durian berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek, buah durian yang dibawanya itu ditempah oleh majikannya melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek mendakwa hanya ditugaskan untuk mengambil buah berkenaan dan membawanya ke Pasir Puteh untuk dijual,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Kredit sumber: Berita Harian
