PUTATAN, 22 Julai 2026 – Isu gangguan bekalan air yang sekian lama membelenggu penghuni Kondominium Kingfisher Putatan kini memasuki fasa penyelesaian selepas Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), pihak pengurusan kondominium dan wakil penduduk mencapai kata sepakat dalam satu pertemuan khas hari ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, hasil perbincangan itu menyaksikan JANS bersetuju menjamin bekalan air antara 180 hingga 200 meter padu sehari bagi memenuhi keperluan harian kira-kira 500 penghuni kondominium berkenaan.
Menurut beliau, sekiranya jumlah bekalan yang disalurkan masih tidak mencukupi, JANS turut memberi komitmen untuk menghantar lori tangki air sebagai langkah sementara bagi menampung kekurangan bekalan.
“Pertemuan hari ini memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan pandangan masing-masing. JANS yang diwakili Jurutera Daerah Kota Kinabalu, Douglas Gumbilai bersama pihak pengurusan kondominium dan wakil penduduk berjaya mencapai persefahaman yang memberi manfaat kepada semua.
“JANS bersetuju membekalkan antara 180 hingga 200 meter padu air setiap hari dan jika bekalan itu tidak mencukupi, lori tangki akan dihantar bagi memastikan keperluan penghuni terus dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan khas melibatkan JANS dan wakil Kondominium Kingfisher Putatan yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan.
Shahelmey berkata, beliau menyambut baik persetujuan yang dicapai dan berharap penyelesaian tersebut dapat mengurangkan beban yang ditanggung penduduk serta memastikan isu bekalan air dapat diatasi secara berperingkat.
Sebelum ini, masalah bekalan air di kondominium berkenaan menjadi perhatian ramai selepas pihak pengurusan dilaporkan terpaksa membelanjakan lebih RM120,000 untuk mendapatkan bekalan air daripada pembekal luar bagi memastikan keperluan penghuni tidak terjejas.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JANS turut memaklumkan bahawa kekurangan bekalan air yang berlaku khususnya di kawasan Putatan Selatan berpunca daripada kelewatan menyiapkan Loji Air Kogopon Dua mengikut jadual asal.
Menurutnya, keadaan bekalan air dijangka bertambah baik apabila projek Loji Air Kasigui berkapasiti 10 juta liter sehari (10 MLD) serta Loji Air Kogopon Dua berkapasiti 15 juta liter sehari (15 MLD) siap sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau berharap JANS bersama kontraktor yang dilantik dapat mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan bagi mengatasi kelewatan yang berlaku sekali gus meningkatkan keupayaan sistem bekalan air di kawasan Putatan dan sekitarnya.
Katanya, penyiapan projek-projek berkenaan amat penting bagi memastikan penduduk menikmati bekalan air yang lebih stabil dan berterusan pada masa hadapan. – DAKWAT RAKYAT POST
