TAWAU, 22 Julai 2026 – Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas disyaki mencuri beberapa helai pakaian dalam wanita yang dijemur di sebuah rumah di Kampung Haji Matahir, di sini, dalam kejadian awal bulan ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan bermula selepas seorang lelaki berusia 47 tahun membuat laporan polis apabila mendapati beberapa helai pakaian dalam milik isterinya yang dijemur di luar rumah hilang.
Menurut beliau, laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Bombalai sebelum polis menjalankan risikan dan siasatan bagi mengesan individu yang disyaki terlibat.
“Hasil siasatan, sepasukan polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing kira-kira jam 10.30 malam semalam di hadapan sebuah rumah di Kampung Haji Matahir.
“Siasatan awal membawa kepada penemuan beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan selepas suspek menunjukkan lokasi barang kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan menemui beberapa helai pakaian dalam wanita di dalam rumah suspek serta di kawasan semak berhampiran.
Turut dirampas ialah sehelai baju berwarna hijau dan sebuah songkok hitam yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan berkenaan.
Menurut Wilynton, semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan di kawasan kediaman masing-masing dan segera memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti atau perlakuan mencurigakan.
Katanya, kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
Sumber: Facebook Polis Daerah Tawau
