LIPIS: Penduduk Kampung Mela di sini memohon pihak berwajib membina jejantas merentasi landasan kereta api Lipis-Jerantut bagi meningkatkan keselamatan orang ramai, terutama murid sekolah yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
Penduduk, Mohd Safri Salleh, 46, berkata, pembinaan kemudahan itu semakin diperlukan berikutan kekerapan perkhidmatan kereta api yang melalui kawasan berkenaan, selain menjadi laluan penting penduduk untuk ke pekan Mela.
Katanya, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) difahamkan sudah beberapa kali mengemukakan permohonan kepada pihak berwajib supaya sebuah jejantas dibina di kawasan berkenaan.
“Sudah lebih dua dekad penduduk Kampung Mela dan kawasan berhampiran berdepan risiko ketika melintasi landasan untuk ke sekolah, masjid, premis perniagaan dan pekan sehari.
“Keadaan ini lebih membimbangkan apabila warga emas, kanak-kanak berbasikal serta penunggang motosikal turut menggunakan laluan berhampiran stesen berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Mela, di sini.
Mohd Safri berkata, perkhidmatan tren DMU dari Gemas, Negeri Sembilan ke Kuala Lipis dan sebaliknya pada waktu siang, selain tren ekspres pada sebelah malam, menyebabkan penduduk berharap aspek keselamatan di kawasan lintasan itu diberi perhatian sewajarnya.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Mela, Rosli Ismail, 67, berkata, ketika beliau menjadi Pengerusi JPKK sebelum ini, permohonan pembinaan jejantas dibuat hampir setiap tahun berikutan keperluan penduduk yang semakin meningkat.
Katanya, kemudahan itu bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan, malah memendekkan perjalanan penduduk Taman Selinsing yang menghantar anak ke sekolah dan ke masjid tanpa perlu menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.
“Penduduk di seberang landasan, khususnya penempatan di pesisir Sungai Jelai, juga kerap berurusan di klinik, menziarahi saudara-mara, mengunjungi premis perniagaan serta pekan sehari pada setiap Sabtu.
“Dengan lapan perjalanan tren dari Lipis ke Jerantut dan sebaliknya, kemudahan jejantas amat penting bagi menghubungkan penduduk di kedua-dua belah landasan dengan lebih selamat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Suhaimi Saadun, 53, berkata, kawasan lintasan itu sentiasa sibuk walaupun papan tanda amaran telah dipasang.
“Sekarang ada lapan perjalanan dari Lipis-Jerantut dan sebaliknya, penduduk Taman Selinsing dan lima petempatan lain masih menggunakan laluan berkenaan untuk urusan harian, termasuk ke masjid dan menghantar anak ke sekolah sebagai jalan pintas.
“Kami berharap pihak berwajib mempertimbangkan permohonan ini demi keselamatan penduduk kerana jalan alternatif yang ada terlalu jauh dan menyukarkan pergerakan harian,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
