KOTA KINABALU: Polis Sabah memperkasakan operasi membanteras kegiatan penyambungan paip air secara haram di kawasan setinggan dalam usaha membantu mengurangkan ketirisan bekalan air di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi bersepadu bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan agensi berkaitan itu dilaksanakan sejak 15 Julai lalu.
Katanya, setakat ini empat individu sudah ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyambungan paip air secara haram.
“Individu yang ditahan membabitkan penduduk tempatan dan pemegang dokumen IMM13 yang menetap di kawasan setinggan.
“Mereka sudah diserahkan kepada Jabatan Air untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan dengan tumpuan di kawasan setinggan sekitar Alamesra hingga Inanam.
Menurutnya, pemantauan susulan turut dilakukan bagi memastikan sambungan paip yang dipotong tidak disambung semula.
“Hari ini kita putus, esok kita akan periksa semula. Jika disambung kembali, kita akan potong lagi. Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu antara usaha membantu kerajaan negeri menangani masalah ketirisan bekalan air akibat penyambungan paip secara haram.
Katanya, operasi berkenaan turut bertujuan mengekang pertambahan rumah setinggan selepas siasatan mendapati terdapat individu yang memiliki beberapa rumah untuk disewakan di kawasan berkenaan.
“Usaha ini bukan sahaja untuk mengekang pertambahan setinggan haram, tetapi memastikan masalah ketirisan air dapat diatasi dan bekalan air disalurkan secara sah kepada pengguna,” katanya.
Kredit sumber: Buletin TV3
