JAKARTA – Indonesia sedang bersiap memasuki fasa baharu dalam memperkukuh armada lautnya dengan ketibaan kapal induk pertamanya, Giuseppe Garibaldi, yang dijadualkan tiba pada 20 September 2026. Perkembangan itu dilihat sebagai satu mercu tanda penting dalam usaha pemodenan aset pertahanan negara.
Kepastian mengenai jadual ketibaan kapal itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kekuatan Pertahanan Kementerian Pertahanan Indonesia, Marsda TNI Hendrikus Haris Haryanto, dalam mesyuarat bersama Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta.
“Perancangan ketibaan kapal adalah pada 20 September 2026,” katanya seperti disiarkan menerusi TV Parlemen.
Seiring dengan jadual tersebut, Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) mempercepat pelbagai persiapan dari segi teknikal dan pembangunan sumber manusia bagi memastikan kapal induk itu dapat beroperasi sepenuhnya sebaik tiba di negara berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada persiapan, seramai 100 anggota TNI AL dihantar ke Itali untuk mengikuti latihan intensif yang merangkumi aspek teori dan praktikal bagi menguasai pengoperasian Giuseppe Garibaldi sebelum membawa pulang kapal itu ke Indonesia.
Dalam masa yang sama, persiapan infrastruktur turut diberi keutamaan. TNI AL sedang menaik taraf beberapa pangkalan tentera laut bagi menyokong operasi kapal induk tersebut, dengan Lampung dipilih sebagai antara lokasi utama.
Ketua Dinas Penerangan TNI AL, Laksamana TNI Tunggul, berkata Lampung dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik.
“Lampung merupakan antara pangkalan yang disediakan untuk menempatkan Giuseppe Garibaldi sama ada bagi tujuan berlabuh atau bersandar,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan di Pangkalan TNI AL Lampung kini sedang dipercepatkan, termasuk menaik taraf pelbagai fasiliti dan kawasan sokongan bagi memenuhi keperluan operasi kapal induk itu.
TNI AL menyasarkan semua persiapan tersebut dapat diselesaikan sebelum ketibaan Giuseppe Garibaldi, yang dijangka berlaku hampir dengan sambutan ulang tahun TNI pada Oktober 2026.
Dengan gabungan kesiapsiagaan anggota dan pembangunan infrastruktur yang menyeluruh, kehadiran Giuseppe Garibaldi diharap bukan sahaja memperkukuh keupayaan pertahanan maritim Indonesia, malah menandakan peningkatan kapasiti operasi TNI dalam melaksanakan unjuran kekuatan di peringkat serantau.
Kredit sumber: TRT Indonesia
