KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mengukir sejarah tersendiri apabila muncul rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship selepas menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight, malam ini.
Kejayaan penuh bermakna itu dilakar Aliff pada acara ONE: The Inner Circle 23 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, sekali gus meletakkan namanya dalam sejarah sebagai atlet pertama negara menjulang kejuaraan dunia di pentas organisasi seni bela diri terbesar dunia itu.
Selepas pertarungan berintensiti tinggi, Aliff meluahkan rasa syukur kerana berjaya menunaikan janjinya untuk membawa pulang tali pinggang kejuaraan dunia buat Malaysia.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan. Saya sudah berjanji untuk membawa pulang kejuaraan ini ke Malaysia dan hari ini saya berjaya menunaikannya.
“Saya berusaha bersungguh-sungguh dan mengharungi pelbagai cabaran untuk mendapatkan tali pinggang ini. Kejuaraan ini saya hadiahkan khas kepada ayah saya,” katanya sejurus tamat pertarungan.
Selain merangkul kejuaraan dunia interim, Aliff turut membawa pulang bonus kemenangan berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM204,570) yang diberikan ONE Championship.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Sudah agak lama saya tidak menerima bonus seperti ini, lebih setahun. Saya sangat gembira dan bersyukur,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
