NIZHNY NOVGOROD, RUSIA – Seekor kucing dipercayai dijadikan ‘kurier’ bagi menyeludup dadah ke Koloni Pemulihan No. 17 di bandar Nizhny Novgorod, Rusia, namun cubaan tersebut berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa penjara.
Menurut Perkhidmatan Penjara Persekutuan Rusia (FSIN), kejadian itu dikesan pada Selasa apabila kakitangan penjara menemui seekor kucing yang memakai dua kolar kain buatan sendiri sebelum haiwan berkenaan sempat memasuki kawasan penjara.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kolar tersebut menyembunyikan bahan terlarang yang dipercayai bertujuan untuk dihantar kepada banduan di dalam penjara.
Susulan penemuan itu, unit pengendali anjing pengesan dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut. Anjing pengesan mengesahkan bahan yang disembunyikan di dalam kolar berkenaan ialah dadah.
FSIN memaklumkan kucing tersebut kemudiannya dilepaskan selepas pemeriksaan mengesahkan haiwan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang dipercayai menggunakan kucing berkenaan sebagai perantara untuk menyeludup bahan terlarang ke dalam penjara.
Kredit sumber: Perkhidmatan Penjara Persekutuan Rusia (FSIN)/Euro News
