KOTA KINABALU, 27 Julai 2026 – Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah menegaskan dakwaan yang tular di media sosial kononnya lawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman ke Dubai dilakukan atas urusan peribadi adalah tidak benar serta boleh mengelirukan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, lawatan rasmi Tun Musa ke Mesir pada awal tahun ini dilaksanakan bagi memenuhi beberapa program rasmi yang memberi manfaat kepada Negeri Sabah, khususnya dalam memperkukuh kebajikan dan pembangunan pendidikan pelajar Sabah yang sedang menuntut di negara berkenaan.
Jelas kenyataan itu, persinggahan di Dubai hanyalah untuk tujuan mengisi minyak pesawat sebelum penerbangan diteruskan ke Kaherah dan bukannya destinasi utama lawatan rasmi berkenaan.
Sepanjang berada di Mesir, Tun Musa menghadiri beberapa program rasmi termasuk menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Dar Al-Ifta Al-Misriyyah, mengadakan pertemuan dengan pihak Universiti Al-Azhar, merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb serta menghadiri Majlis Mahabbah bersama kira-kira 350 pelajar Sabah.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa perhatian Tun Musa terhadap kebajikan pelajar Sabah di Mesir bukanlah sesuatu yang baharu.
Semasa memegang jawatan Ketua Menteri Sabah, beliau mengambil inisiatif menyediakan sebuah bangunan asrama khas untuk pelajar Sabah di Mesir yang bernilai jutaan ringgit bagi memastikan mereka mempunyai kemudahan penginapan sendiri, ketika beberapa negeri lain telah lebih awal menyediakan kemudahan serupa kepada pelajar masing-masing.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan membuktikan komitmen berterusan Tun Musa dalam memastikan kebajikan, keselesaan dan masa depan anak-anak Sabah terus diberi perhatian.
Sehubungan itu, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah menegaskan bahawa dakwaan kononnya lawatan luar negara Tun Musa dilakukan atas tujuan peribadi adalah tidak berasas.
Katanya, setiap lawatan rasmi yang dilaksanakan, sama ada di dalam mahupun di luar negara, adalah bagi melaksanakan tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan serta fungsi rasmi beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam menjaga kepentingan negeri dan rakyat, memperkukuh hubungan antarabangsa, meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam serta memastikan kebajikan rakyat Sabah di luar negara terus terpelihara.
Mengenai penggunaan pesawat rasmi bagi menunaikan ibadah umrah selepas selesai lawatan rasmi berkenaan, kenyataan itu menjelaskan bahawa kemudahan tersebut diberikan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah atas budi bicara kerajaan negeri.
Menurut kenyataan itu lagi, kemudahan sama turut dinikmati oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah terdahulu sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing.
Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa memutarbelitkan perjalanan rasmi Tun Musa sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku penyalahgunaan wang awam.
Kenyataan itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas serta dilihat bertujuan mencemarkan reputasi Tun Musa, selain mengheret Institusi Yang di-Pertua Negeri ke dalam polemik politik kepartian demi kepentingan politik yang sempit.
Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau mengelirukan, sebaliknya mengamalkan budaya wacana awam yang bertanggungjawab, berasaskan fakta serta menghormati institusi negeri. – DAKWAT RAKYAT POST
